PETALING JAYA – Skuad Saidina Umar (SSU) Zakat Selangor membantu seorang wanita muda bersama seorang anak kecil yang menumpang sementara waktu di masjid akibat dihalau dari bilik sewanya.
SSU Zakat Selangor melalui perkongsian di Facebooknya berkata, wanita itu yang tidak mempunyai pekerjaan baru sahaja sampai dari kampungnya di sebelah pantai timur.
Katanya, wanita tersebut menghadapi masalah dengan keluarga dan bertindak membawa diri bersama seorang anak kecil berusia 1 tahun lebih untuk membina kehidupan baru di Kuala Lumpur.
“Baru seminggu sampai dan menyewa sebuah bilik, namun beliau tidak berjaya mendapatkan pekerjaan dan anaknya juga tiada pengasuh yang dapat menjaganya. Disebabkan itu, tuan rumah bertindak menghalau beliau dan anak kecil dari bilik tersebut. Maka bermulalah langkahnya mencari tempat berteduh.
“Alhamdulillah beliau memilih masjid untuk dapatkan bantuan. Pihak masjid juga segera menghubungi kami dan tindakan pantas telah diambil,” katanya.
SSU Zakat Selangor juga sudah berbincang dan mengenal pasti masalah serta jalan penyelesaian termasuk menghubungi keluarga wanita berkenaan di kampung dan mereka memberikan kerjasama yang baik.
“Hasil perbincangan dan persetujuan, kami membuat keputusan untuk menghantarnya pulang kembali ke pangkuan keluarga.
“Ibu dan ayahnya memberikan jaminan akan menjaga dan menguruskannya walaupun beliau mempunyai kisah silam yang menyebabkan maruah keluarga tercalar. Yang paling utama adalah keselamatan beliau dan anaknya kini,” ujarnya.
SSU Zakat Selangor turut menguruskan tiket pulang untuk wanita itu serta anaknya termasuk memberi sedikit duit belanja kepada mereka.
“Oleh kerana cuti tahun baru cina bakal menjelang, sukar untuk kami dapatkan tiket. Alhamdulillah dengan bantuan petugas di TBS, kami berjaya dapatkan tiket bas esok hari.
“Malam ini beliau akan bermalam di kapsul TBS. Sedikit wang belanja juga kami bekalkan buatnya,” jelasnya.
Katanya, bantuan yang diberikan adalah di bawah asnaf ibnusabil dan ianya bersifat ‘one off’ kerana tidak bermastautin di Selangor dan dikira sebagai musafir yang terputus bekalan. – KOSMO! ONLINE