BHUBANESWAR – Tiada yang lebih manis buat penyerang muda berusia 20 tahun, Shahmie Irfan Suhaimi apabila memulakan karier antarabangsa dengan kemenangan pertama di pentas berprestij seperti Piala Dunia Hoki 2023.
Shahmie pada awalnya disenaraikan sebagai dua pemain simpanan ke kejohanan itu sebelum mendapat ‘durian runtuh’ apabila dipilih menggantikan tempat Muhammad Shahril Saabah kerana kecederaan hamstring.
Walaupun bermula goyah dan tidak meledak gol tetapi kehadiran bintang dalam pembikinan dari Negeri Sembilan itu memberikan nilai tambah kepada jentera serangan ketika aksi menentang New Zealand kelmarin.
Beberapa gerakannya dilihat telah berjaya mengucar-ngacirkan benteng pertahanan pasukan New Zealand dan menjadi antara faktor kejayaan pasukan menang 3-2 dalam aksi terakhir Kumpulan C di Stadium Kalinga itu.
“Kaps antarabangsa pertama, aksi Piala Dunia pertama dan kemenangan pertama tentunya sangat manis buat Shahmie. Cara dia bermain sedikit sebanyak seperti bapanya (Suhaimi Ibrahim).
“Dia agresif, dapat masuk ke dalam pasukan dengan cepat dan tidak kelihatan seperti seorang pemain muda,” kata Arul memuji anak kepada bekas pemain negara yang pernah beraksi pada Sukan Olimpik Sydney 2000.
Bagi Shahmie, dia mahu menjadikan detik tersebut sebagai batu loncatan dalam kariernya agar namanya terus tersenarai untuk beraksi pada kejohanan-kejohanan antarabangsa selepas ini.
“Mungkin inilah aturan dan rezeki untuk permulaan karier. Saya ada pasang niat nak sentiasa berada dalam best 18 dan saya akan terus buat yang terbaik,” jelasnya.