KUALA PERLIS – Cuti panjang sempena Tahun Baharu Cina dimanfaat sepenuhnya oleh orang ramai di negara ini. Ini selepas tiket feri ke Pulau Langkawi dari jeti Kuala Perlis habis ditempah pengunjung.
Pengurus Sumber Manusia dan Operasi, Konsortium Ferry Line Ventures Sdn. Bhd., Kapten Baharin Baharom berkata, tiket feri ke pulau peranginan tersebut bermula semalam hingga 22 Januari habis dijual.
“Trip feri pada 20 Januari sebanyak lima trip merangkumi 2,380 kerusi telah habis dijual, manakala pada 21 Januari yang menyediakan lima trip dengan 2,380 tempat duduk turut habis.
“Bagi trip pada 22 Januari pula, kita menyediakan empat trip dengan 1,667 tempat turut licin ditempah, namun bagi trip 24 Januari, masih terdapat kekosongan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini semalam.
Ketika ditanya mengenai adakah pihak konsortium akan melakukan pertambahan trip, Baharin menjelaskan, ia bergantung kepada keadaan jadual air pasang surut.
“Sebelum ini, kita pernah melakukan tambahan trip pada awal pagi dan waktu malam, namun menerima kritikan daripada orang ramai.
“Buat masa ini, saya nasihatkan orang ramai yang ingin pergi ke Pulau Langkawi berlepas dari Kuala Kedah kerana projek pengerukan alur pelayaran di sana sudah siap,” ujarnya.
Tambahnya, jadual atau feri ke Langkawi dari Kuala Kedah kini lebih kerap antara enam hingga lapan trip sehari disebabkan projek pengerukan telah selesai sepenuhnya.
Katanya, trip pelepasan feri dari Kuala Perlis dijangka kembali pulih selepas projek pengerukan siap sepenuhnya pada 20 Mei depan sebelum Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi (LIMA) 2023 bermula dari 23 hingga 27 Mei depan.
Selain itu, Baharin turut menasihatkan orang ramai agar membeli tiket pergi balik bagi mengelakkan sebarang masalah, selain merujuk kepada aplikasi atau laman sesawang Cuti Cuti Langkawi untuk status terkini tiket.