KUANTAN – Seorang bapa tidak menyangka permintaan anaknya untuk membeli barangan keperluan dan memakan piza adalah yang terakhir sebelum mangsa maut akibat dihempap pokok tumbang di Taman Permainan Balok Baru di sini kelmarin.
Dalam kejadian pukul 6 petang itu, mangsa, Aliya Zahra Mohamad Hasnizam, 14, sempat menyelamatkan adiknya sebelum dihempap pokok sebesar tiga pemeluk orang dewasa yang tumbang akibat dipukul ribut.
Ketika kejadian, Aliya Zahra menarik tangan adiknya berusia sembilan tahun.
Mohamad Hasnizam Manan, 45, berkata, dia lega kerana dapat menunaikan permintaan anak ketiga daripada tujuh beradik itu yang mahu membeli barangan keperluan dan memakan pizza.
“Arwah ada minta saya membawanya ke kedai kerana mahu membeli barang keperluan diri sebelum makan piza. Saya sempat menunaikan permintaan tersebut,” katanya ketika ditemui di Hospital Tengku Ampuan Afzan di sini semalam.
Menurut Mohamad Hasnizam, dia sekeluarga berasa sedih, namun reda dengan kehilangan anaknya dalam kejadian itu.
“Dia seorang anak yang baik kerana merupakan anak perempuan sulung walaupun anak ketiga (daripada tujuh beradik),” katanya.
Menceritakan kejadian itu, Mohamad Hasnizam berkata, semasa kejadian, dia bersama isteri, Maznah Abdul Ghani, 36, sedang melayan pelanggan di gerai burger miliknya yang terletak 20 meter dari pokok tersebut.
Katanya, dia mendengar bunyi pokok tumbang, tetapi tidak menyangka kejadian itu melibatkan anaknya.
“Ada penduduk panggil kami dan beritahu anak saya terlibat (kejadian pokok tumbang). Pokok itu saiznya terlalu besar dan tinggi.
“Jadi apabila ia tumbang, sudah pasni anak saya turut dihempap. Dia dikeluarkan oleh penduduk,” katanya.
Jenazah Aliya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Cerul Satu, Kemaman, Terengganu semalam.