fbpx

Peperiksaan bertulis SPM 2022 mula 20 Februari depan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan. /FOTO ZULFADHLI ZAKI

PUTRAJAYA- Seramai 403,637 calon dilaporkan bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi tahun 2022 yang dijadualkan berlangsung bermula 20 Februari hingga 15 Mac 2023.

Daripada jumlah itu, seramai 94,490 calon bakal menduduki Ujian Amali Sains Fizik yang akan bermula pada 30 Januari 2023 diikuti Ujian Amali Sains Biologi (31 Januari) dan Ujian Amali Sains Kimia (2 Februari).

Selain itu, seramai 397,854 calon juga akan menduduki Ujian Bertutur Bahasa Melayu pada 7 hingga 9 Februari 2023, manakala Ujian Bertutur Bahasa Inggeris pula dijadualkan pada 13 hingga 15 Februari melibatkan seramai 397,057 orang.

Pada masa sama, calon-calon berkenaan juga akan menduduki Ujian Mendengar Bahasa Melayu dan Ujian Mendengar Bahasa Inggeris pada 16 Februari depan.

Kementerian Pendidikan (KPM) berkata, bagi memastikan kelancaran pengurusan dan pengendalian peperiksaan itu, seramai 131,318 petugas peperiksaan dilantik selain 3,355 pusat peperiksaan disediakan seluruh negara.

“KPM ingin mengingatkan semua calon agar merujuk jadual waktu peperiksaan bagi mendapatkan maklumat mengenai tarikh, masa, kod dan kertas peperiksaan serta arahan yang perlu dipatuhi semasa peperiksaan berlangsung.

“Jadual waktu peperiksaan boleh dimuat turun dari laman sesawang Lembaga Peperiksaan di pautan http://lp.moe.gov.my.

“Calon turut diingatkan supaya membawa dokumen pengenalan diri dan Pernyataan Pendaftaran Peperiksaan ke pusat peperiksaan,” katanya dalam satu kenyataan tadi.

Jelasnya, calon juga hendaklah mematuhi prosedur operasi standard dan peraturan yang ditetapkan bagi memastikan kelancaran pengurusan pengendalian peperiksaan SPM tahun 2022. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI