SPESIES lampam sama ada sungai atau tasik merupakan antara ikan yang paling sesuai untuk dijadikan pekasam.
Hidangan tersebut pula sangat enak jika digoreng bersama cili dan bawang. Para peminat masakan itu pasti kecur air liur apabila melihatnya.
Bagi Muhamad Saifudin Gahnehman, 37, dia yang merupakan penggemar hidangan tersebut tidak berhadapan masalah untuk membuat pekasam sendiri di rumah.
Tambahan pula, Muhamad Saifudin yang merupakan kaki pancing tahu bagaimana memburu spesies ikan lampam untuk dijadikan pekasam.
Dia yang tinggal di Kajang, Selangor berkata, lokasi kediamannya yang terletak berdekatan Semenyih, Jenderam dan Dengkil memberi kelebihan untuk memburu ikan itu.
“Biasanya, saya akan pergi memancing ikan pada cuti hujung minggu sama ada bersama rakan-rakan atau bersendirian.
“Antara ‘port’ yang biasa saya pergi adalah di beberapa batang sungai dan kawasan tasik sekitar Jenderam, Kajang serta Semenyih.
“Saya lebih suka memancing ikan air tawar kerana lokasinya lebih mudah dimasuki dan terletak tidak jauh dari rumah saya di Kajang,” katanya.
Bercerita lanjut, Muhamad Saifudin memberitahu, bagi memburu ikan lampam, dia menggunakan teknik penutup botol yang diikat bersama beberapa mata kail bersaiz sembilan hingga 13 bergantung kepada lokasi.
Jelasnya lagi, kesemua mata kail itu akan dipasang umpan dedak yang telah dibancuh bersama beberapa perisa sebelum ‘dilemparkan’ ke lubuk ikan.
Tambahnya, dia lebih gemar menggunakan umpan dedak atau bahan berasaskan tepung kerana ia lebih mudah menarik minat ikan berbanding biji sawit, cengkerik, cacing dan palet.
“Teknik penutup botol ini juga dikenali sebagai teknik ambyok dalam kalangan pemancing warga Indonesia.
“Teknik ini sangat berkesan untuk memburu ikan lampam kerana beberapa mata kail boleh dipasang sekali gus.
“Saya juga menggunakan batu ladung atau pemberat timah bersaiz tiga bagi membolehkan umpan berada di dasar sungai iaitu lokasi lampam mencari makanan,” ujarnya.
Menurut Muhamad Saifudin lagi, teknik tersebut tidak memerlukan pemancing merentap joran terlalu kuat.
Jelasnya, ini kerana mata kail yang terdapat pada penutup botol akan mengena sama ada mulut, insang atau bahagian badan ikan.
Untuk makluman, teknik ambyok menyasarkan ikan bersaiz sederhana yang lebih sesuai untuk dijadikan pekasam. Namun, ia mampu menaikkan hasil yang banyak pada satu-satu masa.
Katanya lagi, teknik penutup botol sangat berkesan bagi mengelak mata kail tersangkut pada ranting kayu atau apa-apa benda asing di dalam sungai.
Maklumnya, ini disebabkan setiap kali tali ditarik, mata kail akan tersimpan di bawah penutup botol berkenaan.
“Biasanya, setiap kali keluar memancing, saya tidak pernah pulang dengan tangan kosong.
“Saya akan menggunakan beberapa batang joran bagi meningkatkan peluang memperoleh ikan ketika memancing.
“Malah, ada ketikanya saya mampu memperoleh lebih 20 ekor ikan lampam pada satu sesi pancingan. Setakat ini, ikan lampam terbesar yang pernah saya naikkan adalah seberat 2.3 kilogram ketika memancing di sebatang sungai di Jenderam,” ujarnya.
Tambahnya, waktu paling sesuai memburu lampam adalah ketika air sungai agak tenang dan sedikit jernih.
Ditanya mengenai hasil ikan lampam yang dipancingnya itu, dia berkata, sebahagiannya disimpan dan digoreng sebagai hidangan keluarga.
Ujarnya, sebahagian lagi pula akan dibuat pekasam sebelum dijual kepada rakan-rakan dan jiran yang ingin mendapatkan hidangan itu pada harga berpatutan.