fbpx

‘Kak Long’ APM Selangor kongsi pernah diugut bunuh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Nor Azurah

PETALING JAYA – “Kalau you tak datang lagi 5 minit, you memang kena bunuh dengan I, I tau mana you duduk” .

Demikian antara dialog yang sukar dilupakan Koperal Nor Azurah Daud, 47, sepanjang bertugas sebagai Professional Emergency Despatcher (PED), di Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Klang.

Bertugas sebagai pengendali talian kecemasan Malaysian Emergency Response Services (MERS) 999 Negeri Selangor, Nor Azurah sudah menganggotai APM selama 17 tahun iaitu sejak Mac 2006.

Mengulas lanjut tentang ugutan bunuh itu, ia diterima daripada seorang pemanggil pada tahun 2021, yang membuat panggilan kecemasan kerana terdapat sarang tebuan dirumahnya.

“Mungkin pemanggil panik dan mendesak untuk petugas datang segera ke lokasi menyebabkan terkeluar kata-kata ugutan sedemikian kepada saya yang bertugas ketika itu.

“Saya terkejut namun kekal tenang dan minta pemanggil supaya turut bertenang dengan situasi yang dialami,” katanya menerusi satu perkongsian oleh APM Selangor.

Jelasnya, diugut, dimarahi dan diherdik sudah menjadi lumrah buatnya yang sebagai petugas PED dalam mengendalikan panggilan kecemasan dalam talian.

Nor Azurah yang turut berpengalaman sebagai tenaga pengajar dalam bidang Basic Trauma and Life Support (BTLS), turut berkongsi pengalaman menyambut kelahiran bayi.

“Saya juga pernah menyambut kelahiran bayi dalam ambulan sekitar tahun 2006 semasa dalam perjalanan membawa pesakit menuju ke Hospital Tunku Ampuan Rahimah, Klang.

“Kebanyakan ilmu dan kompetensi yang diperoleh adalah hasil daripada minat mendalam untuk belajar dan suka membantu membuatkan saya sentiasa bersemangat bertugas,” ujarnya.

Menjadi sebahagian pelopor MERS999 sejak 2009, terlalu banyak perkara yang perlu dipelajari Nor Azurah yang memerlukan kekuatan mental dipupuk berterusan.

“Selain bertugas sebagai PED MERS999 sejak 2009 iaitu ketika sistem perkhidmatan ini baru diperkenal di Klang, saya juga menjadi pelopor dan tenaga pengajar kepada anggota baru.

“Sebagai ‘Kak Long’, saya banyak beri tunjuk ajar dan menjadi tempat petugas PED baru meluahkan perasaan yang stres melayan kerenah pemanggil.

“Terlalu banyak perkara yang perlu dipelajari tambahan sistem pengoperasiannya dalam bahasa Inggeris sebelum ditambah baik untuk mesra pengguna ke bahasa kebangsaan.

“Sehingga kini, ada 15 orang anggota sedia ada dengan tiga penggiliran penugasan dalam tempoh 24 jam dan pernah berdepan panggilan kecemasan mencecah 150 panggilan sehari,” kongsinya.

Tambahnya lagi, apa pun yang berlaku, petugas PED tetap profesional berdepan cabaran walaupun bukan semua boleh mengawal tekanan perasaan akibat dimarahi.

“Kami jadikan situasi tersebut sebagai pembakar semangat untuk membantu dan berempati dengan nasib yang menimpa pemanggil.

“Ada juga pemanggil yang sanggup hubungi kembali dan ucap terima kasih, malah ada yang beri kami hadiah dan datang ke pusat kawalan operasi kerana hargai bantuan yang diberi,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI