BUENOS AIRES – Seorang petani di Argentina menghasilkan wajah Lionel Messi pada ladang jagung miliknya sebagai tanda meraikan kehebatan pemain bola sepak negara itu, lapor akhbar Metro UK kelmarin.
Pemandangan wajah Messi pada ladang jagung seluas 50 hektar tersebut boleh disaksikan dari ruang udara bandar Los Condores, wilayah Cordoba.
Petani tersebut, Maximiliano Spinazze, menggunakan sebuah algoritma yang membantunya mengira kedudukan untuk dia menanam benih jagung bagi membentuk wajah Messi.
Pokok-pokok jagung itu telah membesar selepas Messi, yang mengetuai pasukan bola sepak Argentina berjaya memenangi kejohanan Piala Dunia di Qatar.
“Bagi saya, Messi tidak dapat dikalahkan. Sekarang mereka adalah juara dunia, saya gembira kerana penghormatan dapat dinyatakan dengan menanam tanaman itu,” kata Spinazze kepada portal berita MailOnline.
Carlos Faricelli, yang merupakan seorang jurutera pertanian telah mereka bentuk pengekodan untuk mesin yang membantu mencipta imej Messi di ladang itu.
Dia mempunyai idea untuk membuat kod yang dimasukkan ke dalam penyemai benih bagi membentuk wajah Messi sebagai penghormatan kepada mana-mana petani yang berani menanamnya.
“Apabila jagung ini tumbuh dan gambar dari udara dirakam, warna kontra hijau yang lebih gelap kelihatan di antara kawasan di mana terdapat lebih sedikit tumbuhan. Ia membentuk konsep penanaman ini,” kata Faricelli. – Agensi