KUALA LUMPUR – Majlis Perbandaran Subang Jaya diisytihar sebagai Majlis Bandaraya Subang Jaya berkuat kuasa hari ini.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, perkara berkenan telah mendapat perkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.
“Seyogia dengan perkenan oleh Sultan Selangor jua, menurut kuasa-kuasa yang diperuntukkan melalui Subseksyen 10 (1) Akta Kerajaan Tempatan 1961, sukacita saya memaklumkan bahawa TPr. Noraini Roslan adalah dilantik selaku Datuk Bandar Subang Jaya berkuat kuasa tarikh yang sama.
“Kerajaan negeri merafak sembah takzim dan menjunjung kasih Sultan Selangor di atas perkenan yang telah diberikan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambahnya, pihaknya berharap pembangunan mampan Subang Jaya dan lokaliti sekitarnya akan terus dimantapkan melalui sistem penyampaian perkhidmatan berkelas dunia.
“Dengan izin Allah SWT, cita-cita ini akan dapat digembleng bersama ke arah merealisasi agenda Selangor Maju Bersama,” ujarnya.
Untuk rekod, Subang Jaya merupakan daerah ke-16 yang diisytiharkan sebagai bandar raya.
Pada tahun 2010, Subang Jaya adalah bandar yang mempunyai paling ramai penduduk di Malaysia dengan populasi 1,553,589 penduduk mengatasi Kuala Lumpur (1,475,337 penduduk) kerana berdekatan dengan Lapangan Terbang Subang, Skypark Subang.- K! ONLINE