fbpx

Dua sahabat maut motosikal bertembung kereta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KEADAAN salah seorang mangsa yang maut ditempat kejadian di Jalan Sungai Rusa, Balik Pulau, di sini malam tadi.

BALIK PULAU – Dua calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pondok Upeh di sini maut selepas motosikal yang ditunggangi mereka bertembung dengan sebuah kereta di Jalan Sungai Rusa, di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10.10 malam itu, penunggang motosikal, Nur Humaira Mohd. Zaini, 17, maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.

Bagaimanapun, rakannya yang juga pembonceng motisika jenis Honda Wave, Nur Fatimah Salamahullah,17, disahkan meninggal dunia semasa mendapatkan rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP).

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Kamarul Rizal Jenal berkata, hasil siasatan awal mendapati, kemalangan berlaku semasa seorang lelaki yang memandu kereta jenis Proton Waja dalam perjalanan dari George Town ke Kuala Sungai Pinang.

”Apabila sampai di Jalan Sungai Rusa, Sungai Pinang semasa di jalan lurus, kereta yang dipandu lelaki terbabit telah bertembung dengan sebuah motosikal yang ditunggangi dua pelajar itu dari arah bertentangan.

”Motosikal yang ditunggangi mangsa itu dipercayai cuba memotong sebuah kereta lain ketika kejadian berlaku,” katanya di sini hari ini.

Menurutnya, akibat daripada kemalangan tersebut, pemandu kereta yang merupakan seorang mekanik mengalami kecederaan pada pipi kanan.

“Penunggang motosikal maut di lokasi kejadian dan pemboncengnya meninggal dunia ketika di HPP.

”Pemandu kereta dan penunggang motosikal mempunyai lesen memandu yang sah dan lesen kenderaan bermotor (LKM) juga masih sah tempoh. Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI