LUMUT – Bilangan kenderaan yang menggunakan Lebuh Raya Pesisiran Pantai Barat (WCE) dijangka meningkat sehingga 60 peratus daripada purata trafik harian, sepanjang sambutan Tahun Baharu Cina ini.
Ketua Operasi WCE, Syed Muhd. Naguib Syed Mohd. berkata, peningkatan itu mulai dilihat sejak semalam terutama selepas pengumuman kerajaan mengenai tol percuma bermula pukul 12 tengah malam tadi sehingga 12 tengah malam esok.
“Berdasarkan purata rekod sebelum ini dijangka laluan dari Hutan Melintang ke Beruas sepanjang 70 kilometer (km) bakal menerima limpahan trafik tinggi sepanjang musim perayaan ini.
“Dijangka sebanyak 70,000 hingga 75,000 kenderaan sehari menggunakan WCE bermula hari ini sehingga Selasa depan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Kempen Keselamatan Jalan Raya Daerah Manjung Sempena Tahun Baru Cina di Plaza Tol Sitiawan Utara dekat sini hari ini.
Menurut Syed Muhd. Naguib, pihaknya telah membuat persediaan bagi menghadapi pertambahan trafik itu dengan memastikan aset lebuh raya serta kemudahan awam seperti tandas dan surau dalam keadaan baik.
Pada masa sama, jelas beliau, pihaknya membuat rondaan tambahan agar bantuan kecemasan dapat disegerakan dan masa tindak balas dipercepatkan untuk kemudahan pengguna lebuh raya.
Maklumnya, seramai 20 peronda bersama bantuan 10 pengawal trafik bertugas memantau lebuh raya sepanjang 24 jam dan memberi bantuan kecemasan di luar jangka.
“Selain di jajaran Perak, kemudahan dan rondaan turut dilakukan di jajaran Selangor sepanjang 10 kilometer yang bermula di Bandar Bukit Raja Selatan sehingga persimpangan Bandar Bukit Raja Utara di Kapar,” ujar beliau.
Beliau juga menyarankan pengguna lebuh raya itu memuat turun aplikasi WCE yang bagi memudahkan mereka mendapatkan maklumat terkini mengenai lokasi televisyen litar tertutup (CCTV), kemudahan awam dan bantuan kecemasan selama 24 jam di lebuh raya tersebut.
Menurutnya, aplikasi itu yang dilancarkan sejak enam bulan lalu sehingga kini menerima sambutan memberangsangkan daripada pengguna jalan raya. – KOSMO! ONLINE