GUA MUSANG – Laluan pintu masuk ke Kelantan di pusat bandar Gua Musang di sini mula sesak dengan kenderaan apabila perantau pulang untuk bercuti sempena Sambutan Tahun Baharu Cina.
Tinjauan Kosmo! di Jalan Gua Musang-Kuala Lipis dan Gua Musang-Kuala Krai mendapati, jumlah kenderaan bertambah sejak malam tadi, namun trafik masih lancar dan terkawal.
Seorang pekerja swasta, Nur Shazlin Amran, 40, berkata, dia bertolak kira-kira pukul 6.30 pagi dari rumahmya di Puchong, Selangor untuk pulang ke kampung sebagai langkah untuk mengelak kesesakan lalu lintas.
Menurutnya, perjalanan lancar dari ibu negara lancar, namun berdepan sedikit kesesakan di Raub, Pahang.
“Saya mengambil peluang untuk menikmati tol percuma yang diumumkan kerajaan kerana menjangkakan petang ini akan semakin sesak dengan kenderaan,” katanya.
Lok Zhang Chang, 47, berkata, dia menggunakan jalan alternatif melalui Gua Musang-Jeli untuk pulang ke Tanah Merah bagi mengelak kesesakan lalu lintas.
Katanya, dia turut mengambil cuti awal hari ini bagi pulang ke kampung untuk acara makan besar bersama keluarga esok.
“Kami berhenti berehat di Hentian Gua Musang selepas berdepan kesesakan terutamanya di Karak, Pahang,” katanya.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang, Mohd. Arifuddin Akif Mohd. Noor Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang berkata, pihaknya mengenal pasti satu lokasi panas kemalangan di daerah ini yang kerap berlaku kemalangan iaitu di Jalan Gua Musang-Kuala Krai berhampiran Gua Sejuk. – KOSMO! ONLINE