Oleh ISKANDAR SHAH MOHAMED
SHAH ALAM – Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Petaling sedang mengesan waris tiga beradik yang diserahkan kepada sepasang suami isteri sejak dua tahun lalu.
Mereka dikenali sebagai Siti Sarah, 8; Muhammad Farhan Effendi, 3, dan Sasha Nurfarhana yang didapati tidak mempunyai dokumen pengenalan diri.
Jurucakap JKM berkata, perkara itu dirujuk kepada Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Petaling bagi proses penjagaan dan pemeliharaan semua kanak-kanak tersebut.
“Ketiadaan sebarang dokumen pengenalan diri bagaimanapun menyukarkan pihak penjaga melakukan sebarang urusan rasmi untuk kebajikan mereka.
“Justeru, kita memohon bantuan orang ramai untuk mengesan waris termasuk wanita Indonesia dikenali sebagai Yuni iaitu ibu kandung mereka yang beralamat terakhir di Petaling Jaya,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini, hari ini.
Tambahnya, JKM perlu menjalankan siasatan untuk membantu tiga kanak-kanak itu mendapat dokumen pengenalan diri selaras dengan Konvensyen Akta Kanak-Kanak 2001.
“Mereka kini berada di bawah jagaan sementara dan kawalan Orang Yang Layak dan Sesuai dengan perintah Mahkamah Kanak-Kanak Petaling Jaya.
“Kita berharap mana-mana waris tiga beradik itu tampil bagi membantu menguruskan hal penempatan, persekolahan dan pengurusan dokumen mereka,” katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Pelindung Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Petaling di talian 03-78422584 / 03-78422587/ 013-5830419 untuk tindakan lanjut. -K!ONLINE