PUTRAJAYA – Isu dua jawatan tertinggi UMNO tidak dipertandingkan yang diluluskan pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) baru-baru ini kini dibawa untuk semakan diperingkat Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).
Ahli UMNO, Muhammad Aizat Fikri Mohd. Nasir berkata, dia mendakwa usul tambahan itu adalah tidak sah dan bertentangan dengan Perlembagaan UMNO.
Menurutnya, usul itu juga bertentangan dengan Peraturan- Peraturan Persidangan Perhimpunan Agung Perwakilan Bahagian dan Persidangan Cawangan UMNO (Peraturan UMNO).
“Mengikut Perlembagaan UMNO, Fasal 9.3 menyatakan Presiden, Timbalan Presiden hendaklah dipilih Mesyuarat Perwakilan Bahagian tiap-tiap tiga tahun sekali.
“Selain itu, Peraturan UMNO, Perenggan 10 turut menyatakan semua usul perlu disampaikan selewatnya 14 hari sebelum hari persidangan dan tujuh hari jika diusulkan oleh Majlis Kerja Tertinggi (MKT).
“Jika usul dibuat pada hari persidangan itu sendiri, makanMKT perlu menerangkan bahawa usul tersebut mustahak atas dasar faedah orang ramai namun itu tidak berlaku,” katanya ketika ditemui selepas menyerahkan memorandum kepada RoS di sini hari ini.
Katanya, usul tambahan itu bukan sahaja atas dasar faedah orang ramai, sebaliknya hanya menguntungkan dua orang sahaja iaitu Presiden dan Timbalan Presiden UMNO.
Muhammad Aizat Fikri berkata, RoS mempunyai kuasa untuk tidak meluluskan usul tersebut jika mereka mendapati ada Peraturan Persidangan yang tidak dipatuhi sama ada sepenuhnya atau sebahagiannya.
“RoS juga mempunyai kuasa melalui Akta Pertubuhan 1966 sebagai pihak yang menyelia semua penubuhan di Malaysia untuk mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada mana-mana penubuhan yang tidak mematuhi perlembagaanya.
“Kami sudah mendapatkan pandangan peguam untuk perkara ini malah, RoS juga memberi jaminan untuk menyiasat dan memanggil pihak berkaitan jika perlu,” katanya.
Jelasnya lagi, dia menggesa suara ahli UMNO yang lain untuk membuat laporan sama kepada RoS sekali gus mengembalikan kuasa memilih kepada akar umbi UMNO di seluruh negara. – KOSMO! ONLINE