KUALA SELANGOR – Semua pihak diminta akur dengan arahan tidak menceroboh Pantai Sungai Kajang di Tanjong Karang yang telah disita Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS), minggu lalu.
Pegawai Daerah Kuala Selangor, Mohd. Raiz Radzuan berkata, masyarakat harus mengetahui bahawa sitaan dan larangan itu dilakukan kerana pantai berkenaan adalah tanah rizab hutan selain mahu mengekalkan hutan paya bakau.
“Kuala Selangor ini berdekatan laut dan pemuliharaan hutan paya bakau penting bagi mengelak hakisan tanah dan melindungi hidupan marin.
“Meskipun Pantai Sungai Kajang antara lokasi tumpuan, pemuliharaan bakau perlu diberi perhatian bagi jangka masa panjang. Buat sementara waktu, pantai itu ditutup kepada orang ramai sehingga dimaklumkan JPNS kelak,” katanya ketika ditemui pada Kempen Keselamatan Jalan Raya di Plaza Tol Ijok Lebuhraya Kuala Lumpur-Kuala Selangor (LATAR) di sini, hari ini.
Kosmo! Online terdahulu melaporkan tindakan JPNS menyita Pantai Sungai Kajang pada 10 Januari lalu mengelirukan penduduk setempat selepas kawasan itu didakwa sudah dibersihkan selepas menjadi tempat pembuangan sampah haram.
Malah, para pengunjung Pantai Sungai Kajang tersebut berkemungkinan perlu memohon permit untuk aktiviti rekreasi mereka memandangkan lokaliti sememangnya adalah hutan simpan paya bakau.
Mengulas lanjut, Mohd. Raiz menegaskan tindakan pihak tertentu memusnahkan pokok bakau bagi membina struktur kekal dan sementara antara faktor JPNS menyita Pantai Sungai Kajang itu.
“Sitaan itu perlu dilakukan berikutan wujud pencerobohan hutan paya bakau di sekitar kawasan tersebut.
“Biarpun ada pihak mahu membangunkan kawasan itu bagi pelancongan, sebarang pembinaan perlu dirujuk dan mendapat kebenaran daripada JPNS,” ujarnya. -KOSMO!ONLINE