KULAI – Permintaan Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda) Johor kepada kerajaan negeri untuk menaikkan harga Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) 100 peratus adalah keterlaluan.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Mohd. Jafni Md Shukor berkata, desakan itu sukar untuk diterima kerana ia akan membebankan pembeli khususnya golongan B40.
Bagaimanapun, beliau berkata, pihak kerajaan menerusi Perbadanan Kemajuan Perumahan Johor (PKPJ) bersetuju untuk menaikkan harga RMMJ bagi kategori A dan B manakala kategori C dikekalkan pada harga sedia ada.
“Menyedari faktor kos barang yang naik sehingga 30 hingga 40 peratus, PKPJ bersetuju untuk menaikkan harga RMMJ kategori A daripada RM42,000 kepada RM50,000 dan kategori B daripada RM80,000 kepada RM100,000.
“Sementara itu, rumah kategori C pula dikekalkan kepada RM150,000. Ini adalah langkah yang terbaik untuk memberi situasi menang-menang kepada pemaju dalam masa sama tidak membebankan pembeli.
“Mengikut polisi sedia ada, Kita sudah membenarkan pemaju membina 60 peratus rumah mewah, sebagai balasan membina RMMJ bagi kapasiti 40 peratus. Jadi, tidak munasabah rumah RMMJ itu dijual mengikut harga pasaran,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program J-Home One Stop Centre Rumah Mampu Milik Jenis C Taman Bandar Putra di Dewan Bandar Putra, di sini hari ini.
Mohd. Jafni memberitahu, perbincangan mengenai menaikkan harga RMMJ kategori A dan B itu melibatkan Jawatankuasa Perancangan, Rekabentuk dan Semakan (PDRC) di antara pemaju rumah dan pihak berkuasa tempatan (PBT).
Katanya, ini adalah program pertama penyerahan sijil layak memiliki rumah RMMJ kepada 245 pembeli dengan sasaran penyerahan 2,500 rumah RMMJ pada tahun ini.
Mengulas mengenai projek sakit, Mohd. Jafni memberitahu, pihaknya dalam proses akhir menyiapkan Taman Residensi Kota Tinggi yang telah terbengkalai sejak tiga tahun lalu.
Katanya, sebuah taskforce yang diwujudkan bersama pihak pemaju, PRIMA dengan agensi negeri dan pusat berkaitan bagi menguruskan masalah teknikal yang dialami sejak lapan bulan lalu.
“Taman Residensi ini dalam proses akhir disiapkan dan dijangka akan melakukan penyerahan kunci kepada 625 pembeli menjelang Mac ini,” ujarnya.-KOSMO! ONLINE