SHAH ALAM – Pernikahan luar negara terutama tanpa kebenaran atau secara sindiket terus menjadi tumpuan apabila menjadi intipati Khutbah Jumaat di Selangor hari ini.
Menurut khutbah yang dikeluarkan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), semakin ramai umat di negara amnya dan Selangor khususnya melaksanakan majlis akad nikah di luar negara seperti Thailand, Indonesia, India dan Pakistan dan Bangladesh dengan sangat mendukacitakan apabila ada pernikahan dijalankan tanpa mendapat kebenaran sebelum akad nikah itu dijalankan.
Katanya, terdapat beberapa sebab punca nikah sindiket itu berlaku antaranya berpoligami tanpa kebenaran dengan alasan lebih mudah tanpa melalui proses di mahkamah dan tanpa pengetahuan isteri-isteri sedia ada.
“(Ada juga) mendakwa wali nasab sedia ada tidak bersetuju selain pasangan yang telah terlanjur hinggakan ada yang telah mengandung. Justeru, mereka bernikah di luar negara bagi menutup aib.
“(Sebab lain) rakyat Malaysia yang tinggal di luar negaraa kerana belajar atau bekerja di luar negara sering menganggap tidak perlu mendapatkan kebenaran daripada pihak berwajib sedangkan pelbagai kemudahan telah ada bagi mendapatkan kebenaraan untuk berkahwin,” katanya.
Justeru, khutbah berkenaan turut mengingatkan bahawa pelbagai bahana timbul atas perbuatan tersebut yang akan menyebabkan proses pendaftaran pernikahan tersebut akan memakan masa yang panjang kerana prosiding dan dokumentasi dengan pengesahan mahkamah.
Tambahnya, lebih merumitkan sekiranya dokumen yang dikemukakan itu tidak mencukupi atau palsu.
“Jika tidak didaftarkan, maka tiada surat perakuan nikah dan tanpanya tidak dapat mendaftarkan kelahiran anak seperti biasa. Seterusnya, ketiadaannya juga akan menyukarkan pengurusan harta pusaka selain pelbagai tuntutan di mahkamah seperti penceraian, nafkah, hadanah serta pencarian.
“Malah tindakan undang-undang juga boleh dikenakan mengikut Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 yang memperuntukkan denda RM1,000 atau penjara enam bulan atau kedua-duanya sekiranya disabitkan kesalahan,” tegasnya.
Mengulas lanjut, khutbah berkenaan turut menjelaskan undang-undang dibuat bukan bertujuan untuk menyusahkan mana-mana pihak sebaliknya bagi menjaga kebajikan isteri dan anak-anak pada masa depan. -KOSMO!ONLINE