PETALING JAYA – Rempah-ratus dan bahan perasa tular di media sosial baru-baru ini mengandungi bahan ‘babi’ tidak benar.
Seorang pengguna TikTok dikenali sebagai Fiqaziz mendedahkan ia tidak mengandungi bahan tersebut namun rempah tersebut boleh digunakan bagi tujuan memasak haiwan berkenaan.
“Disebabkan viral benda ini, sebab ada satu video cakap dalam ni ada babi…bukan ada babi tetapi use on (diguna pada)…kalau orang makan babi jadi boleh tabur pada babi, bukan dalam ni ada babi…salah, ” katanya.
Rata-rata netizen yang meninggalkan komen di video tersebut menyatakan individu berkenaan tidak memahami Bahasa Inggeris sehingga menyebabkan rasa curiga orang ramai terhadap rempah tersebut.
“Itu la, rempah ratus mana ada kandungan lain selain rempah ratus itu sendiri,” kata Sufi.
“Macam mana la hati owner (pemilik) Tiktok yang viralkan tu,” kata Liew Sang.
“Itu la, siapa suruh tidur waktu kelas Bahasa Inggeris,” kata netizen lain.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan seorang wanita mendedahkan terdapat beberapa rempah-ratus dan bahan perasa yang dijual di kedai serta pasar raya mengandungi ‘babi’.
Menerusi video TikTok berdurasi lebih seminit itu, wanita berkenaan mendakwa dia baharu sahaja menyedari perkara tersebut selepas membaca label tertulis di produk terbabit.
Disamping itu, dia turut mengingatkan orang ramai terutama pengguna beragama Islam supaya berhati-hati sebelum membuat pembelian produk rempah-ratus atau bahan perasa yang berada di pasaran. – KOSMO! ONLINE