PETALING JAYA – Pelakon Sharnaaz Ahmad menafikan dirinya seorang samseng seperti didakwa segelintir peminat dalam laman sosial.
Sharnaaz atau nama sebenarnya Sharnaaz Ahmad Basir Ahmad berkata, dia hanya mempertahankan dirinya sekiranya orang ‘memijak’ kepalanya.
“Saya bukan samseng. Saya pun dah lunyai dengan salah tanggapan.
“Saya okey je mana-mana pun. Mafia okey, popia pun okey.
“Yang penting, bila dipijak, bangun dan pijak balik. Itu ayah saya ajar. Kita fighter (jadi lawan) untuk diri kita sendiri. Itu cara saya,” coretnya menerusi satu ciapan dalam Twitter.
Terdahulu, seorang pengguna laman sosial tersebut mempersoalkan statusnya sebagai selebriti atau orang terkenal sedangkan dia sepatutnya memberikan contoh yang baik kepada orang ramai.
Rabu lalu, Kosmo! Online melaporkan Sharnaaz, 38, yang cukup dikenali menerusi drama rantaian, Suamiku Encik Sotong itu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret atas pertuduhan mendatangkan kecederaan terhadap seorang lelaki di sebuah kondominium Jun tahun lalu.
Sharnaaz juga memaklumkan kepada media, orang lelaki kalau bergaduh memang berbeza dengan cara orang perempuan.
“Lelaki gaduh lain. Hari ini gaduh, esok dia berkawan baik,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE