KUALA NERUS – Seorang pengusaha bengkel membaiki kenderaan kerugian RM100,000 apabila premis perniagaannya musnah terbakar di Kampung Batin, Seberang Takir di sini malam tadi.
Kebakaran pada pukul 10.30 malam itu turut memusnahkan tiga kenderaan milik pelanggan yang sedang dibaiki di bengkel milik Mohd. Fadhil Razali, 32, berkenaan.
Ironinya secara kebetulan, sewaktu dimaklumkan kebakaran tersebut, dia sedang melihat kebakaran lain melibatkan sebuah rumah di Kampung Baru Seberang Takir di sini.
Mohd. Fadhil berkata, dia bergegas meninggalkan lokasi kebakaran itu untuk ke premis perniagaan sebaik dimaklumkan tentang kejadian tersebut oleh adiknya.
“Saya terkejut melihat kepulan asap memenuhi bengkel membaiki kenderaan milik saya. Bergegas saya mengeluarkan dua kenderaan pelanggan.
“Begitupun tiga kenderaan lain yang milik pelanggan tidak sempat diselamatkan kerana api sudah terlalu marak,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini hari ini.
Mohd. Fadhil berkata, kebakaran tersebut turut memusnahkan pelbagai alat ganti dan aksesori kenderaan termasuk tujuh buah enjin bot serta lori, kompresor dan alat mengecat. – KOSMO! ONLINE