KUALA SELANGOR – Lebuh Raya Kuala Lumpur-Kuala Selangor (LATAR) bakal merekodkan peningkatan jumlah kenderaan sehingga 30 peratus susulan pengecualian bayaran tol bagi sambutan Tahun Baru Cina bermula hari ini.
Ketua Pegawai Operasinya, Ahmad Fuad Ahmad Shahimi berkata, sebanyak 250,000 kenderaan akan menikmati tol percuma sepanjang 33 kilometer laluan bermula dari Templer Park ke Ijok.
“LATAR sudah bersiap sedia menerima pertambahan jumlah kenderaan itu dengan memastikan urusan perjalanan pengguna ke kampung halaman dalam keadaan selamat dan selesa.
“Selain itu, petugas peronda jalan raya bersiap siaga 24 jam memastikan kelancaran trafik, bantuan kerosakan kenderaan atau kemalangan di lebuhraya ini,” katanya ketika ditemui selepas Kempen Keselamatan Jalan Raya di Plaza Tol Ijok di sini, hari ini.
Kempen advokasi dan penyerahan risalah keselamatan itu disertai Pegawai Daerah Kuala Selangor, Mohd. Raiz Radzuan.
Tambah Ahmad Fuad, pengguna jalan raya dinasihatkan memandu secara berhemah dan berwaspada terutama ketika peningkatan jumlah kenderaan.
“Pemandu perlu memastikan kesihatan mereka dalam keadaan baik selain kenderaan mereka diselenggara.
“Kami berharap pengguna jalan raya berwaspada dengan keadaan sekeliling terutama keadaan trafik dan hujan bagi mengelak berlaku kemalangan,” katanya. -KOSMO!ONLINE