PETALING JAYA – Pelakon Julia Farhana Marin mendedahkan masjid menjadi lokasi ‘dating’ pertama dengan suaminya, Dr. Che Muhammad Hafiz Che Baharum ketika dua minggu pertama perkenalan mereka.
Katanya, walaupun perkara tersebut sebagai rutin biasa Che Hafiz yang ketika itu masih bergelar kekasihnya, sedikit sebanyak membuka pintu hati untuk mengenali si dia dengan lebih dekat.
“Sebenarnya ketika itu dia tidak rancang pun ajak saya ke Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, Selangor kerana kalau keluar dia biasa singgah di mana-mana untuk solat jemaah.
“Tapi saya takkan lupakan momen kami keluar ‘dating’ sebab sekarang selepas berkahwin kami berdua memang selalu ke masjid untuk solat berjemaah,” katanya.
Selepas bergelar suami isteri, Julia bersyukur kerana suaminya itu banyak membimbing dia mendalami agama selain semakin terbiasa melakukan rutin melaksanakan ibadah solat berjemaah di masjid bersama.
“Kami datang dari latar belakang keluarga yang berbeza budaya kerana saya dibesarkan di Australia dan bapa juga seorang mualaf. Suami buatkan saja jadi lembut hati.
“Jadi apabila mengenali suami kami umpama saling bertukar budaya kehidupan apatah lagi suami dibesarkan ibu bapa yang mempunyai pegangan agama kuat,” katanya kepada Kosmo! Online.
Menyentuh mengenai alam rumah tangga, aktres berusia 27 tahun itu bersyukur dipertemukan jodoh dengan Che Hafiz yang disifatkan matang selain bertanggungjawab membimbing menjadi isteri dan muslimah yang lebih baik.
Selain suami katanya, keluarga mentua antara insan terdekat yang banyak membantunya belajar tentang agama dengan lebih mendalam.
Malah wanita berdarah campuran Melayu-Itali itu juga menganggap suaminya cukup berbeza dengan kebanyakan lelaki pernah dikenali sebelum ini kerana sangat memahami dan matang.
“Saya seronok menjalani kehidupan sebagai isteri malah dalam tempoh sebulan menyandang status isteri, saya semakin membiasakan diri melaksanakan tanggungjawab.
“Apa jua perkara termasuk kerjaya, saya pastikan berbincang dengan suami serta meminta keizinannya sebelum memutuskan sesuatu. Bukan lagi macam dulu, semua keputusan saya buat sendiri,” katanya.
Tambah Julia, suaminya merupakan kawan baik yang sangat memahami bahkan lelaki itu tidak pernah mendesak selepas dia pernah memaklumkan belum bersedia bertudung atau jadi isteri yang sempurna.
Julia berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran lagu tema filem Coast Guard, Yes Sir nyanyian Zamani dengan menampilkan Ariff Peter di Stesen Udara Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), baru-baru ini.
Julia dan Che Hafiz, 33, melangsungkan pernikahan di sebuah hotel secara tertutup pada 14 Disember tahun lalu.
Berita gembira itu hanya dikongsi kepada khalayak selepas seminggu bergelar isteri iaitu sekembali dari berbulan madu di Indonesia. – KOSMO ONLINE