fbpx

Remaja maut dihempap pokok setinggi bangunan tiga tingkat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KEADAAN sebatang pokok yang tumbang dan menghempap seorang remaja di Taman Permainan Balok Baru Beserah di Kuantan semalam.

KUANTAN – Seorang remaja maut selepas dihempap sebatang pokok sebesar tiga pemeluk setinggi bangunan tiga tingkat ketika bermain di Taman Permainan Balok Baru Beserah di sini semalam.

Difahamkan dalam kejadian itu mangsa Aliya Zahra Mohamad Hasnizam,14, berkorban nyawa menyelamatkan adiknya apabila sempat menarik adiknya berusia sembilan tahun dari lokasi kejadian sebelum pokok berkenaan menimpa dirinya.

Ketua Polis Daerah Kuantan Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, dalam kejadian antara pukul 5 hingga 6 petang itu berlaku ketika mangsa bermain dengan adiknya di taman permainan itu ketika mengikut bapanya yang menjual burger di kawasan berhampiran.

“Berdasarkan temubual dengan adik mangsa, ketika sedang bermain tiba-tiba terdengar bunyi pokok hendak patah dan mangsa menarik adinya keluar dari lokasi kejadian.

“Mangsa tidak sempat menyelamatkan diri dan terkena dahan pokok yang tumbang,”katanya di sini hari ini.

Menurut Wan Mohd Zahari mangsa telah dibawa ke hospital oleh keluarganya dan meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan.

Katanya kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala.

“Berdasarkan pemeriksaan di lokasi kejadian mendapati terdapat lima batang pokok besar berada di sekitar kawasan kejadian dan terdapat sebatang pokok telah tumbang di atas taman permainan,”ujarnya.

Sementara itu Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata, bomba yang tiba di lokasi kejadian kira-kira pukul 6.35 petang mendapati terdapat sebatang pokok tumbang menghempap seorang remaja dan empat buah kenderaan awam serta kabel elektrik.

Ujarnya, anggota bomba memberikan bantuan awal kepada mangsa yang kemudiannya dibawa ke hospital menggunakan kenderaan keluarga mangsa. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI