SEPANG- Ibu muda yang disyaki terlibat dalam kes bunuh bayi lelakinya berusia setahun enam bulan dalam kejadian di sebuah unit kondominium di Cyberjaya pada 12 Januari lalu tiba di pekarangan Kompleks Mahkamah Sepang kira-kira pukul 8.55 pagi tadi.
Wanita berusia 20 tahun yang memakai pakaian lokap berwarna ungu dan tangan bergari itu tiba dengan kawalan ketat polis pengiring.
Suspek akan dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang mana prosiding itu akan berlangsung di Mahkamah Majistret.
Semalam, media melaporkan seorang ibu muda bersama kekasih direman selama seminggu selepas disyaki mendera hingga menyebabkan kematian anak kandung lelakinya yang berusia setahun enam bulan di sebuah ‘homestay’ di kondominium di Cyberjaya, 12 Januari lalu.
Ketua Polis Daerah Sepang Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, pihaknya menerima satu laporan daripada seorang doktor yang bertugas di wad kecemasan Hospital Cyberjaya memaklumkan terdapat seorang kanak-kanak lelaki berada dalam keadaan tidak sedarkan diri dihantar oleh ibu kandungnya, kira-kira pukul 11.30 pagi.
Menurut beliau, hasil pemeriksaan awal mendapati terdapat pendarahan di kedua-dua belah anak mata kanak-kanak terbabit berkemungkinan disebabkan penderaan dan pesakit berada dalam keadaan kritikal.
Bagaimanapun katanya, pada 15 Januari, pegawai perubatan Hospital Cyberjaya telah menghubungi pihak polis pada pukul 8.03 pagi memberitahu kanak-kanak terbabit meninggal dunia.
Tambah beliau, hasil soal siasat mendapat ibu mangsa mengaku terlibat dalam kes tersebut dengan cara menekup muka anaknya dengan bantal yang ketika itu sedang tidur sehingga lemas kerana berada dalam keadaan yang sangat tertekan ekoran masalah dengan suami dan keluarga. – KOSMO! ONLINE