fbpx

Upah RM5,000 jaga stor rokok seludup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Dari kiri: Ahmad Ridhwan dan Rizal bersama rokok seludup yang dirampas pada sidang akhbar tersebut.

KUALA LANGAT – Gara-gara upah lumayan mencecah RM5,000 sebulan membuat seorang lelaki sanggup mengambil risiko menjadi penjaga stor rokok seludup di rumah teres di Bandar Rimbayu, Teluk Panglima Garang, di sini.

Bagaimanapun, tindakan lelaki berusia 30an itu yang menjadi ahli sindiket sejak setahun lalu memakan diri apabila ditangkap kira-kira pukul 12.30 tengah hari semalam menerusi serbuan Op Kontraban.

Difahamkan kediaman teres dua tingkat itu adalah kawasan perumahan berpagar dan rumah berkenaan hanya diakses oleh penjaga stor tersebut.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd . Nor @ Saleh berkata, kejayaan itu hasil risikan selama sebulan oleh Batalion 4 Pasukan Gerakan Am (PGA) dengan akitiviti sindiket dipercayai telah beroperasi kira-kira setahun lalu.

Katanya, hasil pemeriksaan menemui lebih 40 kotak besar mengandungi 2,094 karton pelbagai jenama bernilai bernilai RM50,000 yang disimpan dalam rumah tersebut serta sebuah kereta jenis Toyota Altis.

“Rokok tersebut dipercayai dibawa masuk dari negara jiran melalui jalan laut sebelum disyaki didaratkan di sekitar pantai negeri ini.

“Kemudiannya, sindiket akan menyimpannya di rumah kosong sebelum diedarkan ke kedai runcit sekitar Lembah Klang mengikut permintaan,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat, hari ini.

Kata Ahmad Ridhwan, rokok berkenaan juga dipercayai dijual pada harga sekitar RM7 hingga RM8 sekotak manakala sekotak besar rokok berkenaan juga dikatakan mampu dijual pada harga RM3,000 hingga RM5,000.

“Lelaki tempatan yang ditahan itu hanya bertugas sebagai penjaga stor dengan dibayar gaji RM3,000 hingga RM5,000 sebulan manakala rumah tersebut disewa bulanan kadar RM1,500 oleh sindiket tersebut,” katanya.

Jelas beliau, semakan mendapati suspek tiada rekod lampau dan kini direman selama enam hari hingga 24 Januari depan dan kes disiasat mengikut Seksyen 135 Akta Kastam 1967. -KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI