JAKARTA – Seorang lelaki mengamuk dan membakar rumah mertua selepas bertengkar dengan isterinya dalam kejadian di Jalan Banyiur Luar, Banjarmasin, Kalimantan Selatan pada Sabtu lepas.
Suspek dikenali dengan singkatan JA, 34, sudah tidak sebumbung dengan isterinya, LA. Wanita berusia 34 tahun itu nekad mahu bercerai dan pulang ke rumah orang tuanya. Rencana perceraian itu rupanya tidak disetujui oleh JA.
Berang dengan kedegilan isterinya, JA dilaporkan menyimbah minyak tanah di sekeliling rumah mertuanya, lapor portal Kompas.com.
Menurut Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Polis Banjarmasin Barat, Inspektor Yadi Tullah, saksi memberitahu bahawa suspek tidak mengendahkan permintaan penduduk agar dia tidak membakar rumah mertuanya.
“Tiada nyawa terkorban dalam kebakaran ini tetapi dua rumah jiran turut hangus.
“Suspek ditahan ketika bersembunyi di sebuah kawasan setinggan pada hari sama,” kata Yadi lagi.
Sementara itu, LA memberitahu bahawa dia sudah seminggu tinggal di rumah ibunya sejak JA melafazkan cerai secara lisan ketika bertengkar di kediaman mereka.
Namun, JA mengubah fikiran dan mahu rujuk kembali biarpun tidak dipersetujui oleh LA.
“Dia mengugut mahu membunuh saya jika tidak kembali rujuk dengannya,” kata wanita itu lagi.
Tambah LA, ketika api mulai marak, dia sempat mengejutkan ibu dan anaknya untuk keluar menyelamatkan diri. – Agensi