BEIJING – Sepasang suami isteri dari wilayah Shaanxi, China, baru-baru ini mencuri perhatian di media sosial kerana penampilan mereka yang kelihatan seperti bapa dan anak, lapor portal berita Wolipop.
Wanita yang dikenali sebagai Wang itu kelihatan jauh lebih muda daripada suaminya. Ramai netizen mengesyaki pasangan itu mempunyai perbezaan umur kira-kira 20 tahun.
Gambar pasangan itu tular selepas Wang berkongsikannya di media sosial.
Netizen beranggapan perbezaan usia mereka agak jauh bahkan ada yang mendakwa lelaki berkenaan sangat kaya sehingga Wang sanggup mengahwininya.
Selepas banyak spekulasi timbul mengenai usia mereka berdua, Wang akhirnya tampil memberikan penjelasan.
Namun, sangkaan netizen meleset sama sekali apabila Wang dan suaminya sebenarnya mempunyai perbezaan usia hanya lapan tahun. Wang dilahirkan pada 1987, manakala suaminya dilahirkan pada 1979.
Bukan itu sahaja, Wang berkata, suaminya hanya seorang ahli perniagaan biasa. Wanita itu juga mengakui mempunyai kerjayanya sendiri. – Agensi