ALOR SETAR – Polis memantau tiga lokasi ‘hot spot’ kerap berlaku kemalangan jalan raya dan kesesakan terutama ketika musim perayaan sepanjang Op Selamat sempena Tahun Baharu Cina.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, lokasi tersebut adalah Lebuhraya Sultanah Bahiyah, Jalan Alor Setar-Kangar dan Jalan Kuala Kedah.
“Ini merupakan lokasi sering berlaku kemalangan dan banyak kenderaan seperti Jalan Alor Setar-Kangar iaitu laluan utama ke Perlis.
“Kita gerakkan semua kekuatan polis trafik Kota Setar dan anggota lain di kawasan tersebut yang mana fokus kita adalah untuk memastikan kelancaran jalan raya,” katanya kepada pemberita ketika hadir pada program Op Selamat Trafik Kota Setar di Tol Alor Setar Utara di sini hari ini.
Katanya, polis menjangkakan berlaku kesesakan selepas perantau pulang ke kampung halaman di daerah ini sepanjang cuti perayaan itu.
“Kita menyasarkan rumah selamat dan selamat sampai ke destinasi iaitu serampang dua mata sempena cuti panjang.
“Ramai perantau yang akan balik dan tinggalkan rumah mereka, jadi kita akan pastikan keselamatan mereka di jalan raya dan selamat sampai ke destinasi,” ujarnya.
Tambahnya, polis juga akan mempertingkatkan rondaan di premis perniagaan untuk mencegah kegiatan jenayah termasuk pecah masuk ketika cuti panjang tersebut. – KOSMO! ONLINE.