DUNGUN – Lebih 5,000 penduduk Felda Kerteh 2 dan 3 di sini yang mengalami gangguan air bersih berikutan kerosakan paip pecah di Jambatan Paka semalam merungut apabila dibekalkan air kurang berkualiti oleh Syarikat Air Terengganu (Satu).
Rata-rata bekalan air yang terdapat di dalam tangki statik disediakan di kawasan tersebut didapati berkeladak dan berwarna keruh seperti teh O.
Salah seorang penduduk, Wan Ayu Nazira Wan Nawang, 23, yang menetap di Felda Kerteh 2 di sini mendakwa kecewa dengan kualiti bekalan air alternatif dibekalkan tersebut sehingga terpaksa membeli air mineral.
“Kami mula terima bekalan air pagi ini setelah lebih 15 jam terputus bekalan akibat insiden paip pecah tersebut tetapi malangnya kualitinya teruk.
“Tidak sanggup saya ambil untuk kegunaan memasak, minum mahupun mandi. Lagipun kulit anak saya sensitif kerana menghidap ekzema,” dakwanya ketika ditemui Kosmo! di sini hari ini.
Seorang lagi penduduk, Zainudin Ali, 71, mendakwa, walaupun kecewa, dia terpaksa juga menadah juga air berkeladak berkenaan kerana tiada pilihan lain.
“Warna airnya memang keruh, saya harap pihak berwajib tukar dengan bekalan air lebih bersih. Saya bimbang kesihatan kami terganggu, lagi pun gangguan air ini selama seminggu,” katanya.
Kosmo! Online semalam melaporkan penduduk Paka, Felda Kerteh 2 dan 3 serta Ketengah Jaya akan mengalami gangguan bekalan air selama seminggu ekoran kerosakan paip utama berkenaan.
Paip berukuran 700 millimeter itu patah selepas dilanggar tongkang penyelenggaraan sewaktu kerja-kerja membaik pulih struktur sokongannya dilakukan pada pukul 2 petang. – KOSMO! ONLINE.