fbpx

China tuduh AS rompak minyak Syria

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kanak-kanak melihat tentera AS berkawal di sebatang jalan di al-Jawadiyah, dalam wilayah Hasakeh pada 17 Disember 2020. - AFP

BEIJING – China menuduh Amerika Syarikat (AS) ‘menyamun’ minyak dari Syria dengan mendakwa bahawa penempatan tenteranya selama bertahun-tahun di negara itu sebagai tindakan merompak sumber negara yang telah meletakkan penduduknya di ambang krisis kemanusiaan, lapor laman berita RT.

Ketika satu taklimat media di Beijing Selasa lalu, jurucakap Kementerian Luar China, Wang Wenbin disoal mengenai beberapa laporan media Syria baru-baru ini bahawa tentera AS telah mengangkut sejumlah besar minyak yang didakwa dicuri dari Syria ke Iraq bulan ini.

“Kami terkejut dengan tindakan keterlaluan AS yang mencuri minyak dari Syria. Tindakan ‘menyamun’ seperti itu hanya memburukkan lagi krisis tenaga dan kemanusiaan di Syria,” kata Wenbin.

Beliau merujuk kepada perangkaan kerajaan Syria baru-baru ini yang memaklumkan bahawa lebih 80 peratus daripada pengeluaran minyak harian Syria telah diseludup keluar dari negara itu oleh tentera AS pada separuh pertama 2022.

“Sama ada mereka (AS) memberi atau mengambil (minyak), ia turut menjerumuskan negara-negara lain ke dalam bencana dan kegawatan sedangkan AS mendapat manfaat bagi tindakannya itu,” tegasnya.

Pada 14 Januari lalu, Agensi Berita Arab Syria (SANA) melaporkan bahawa satu konvoi terdiri daripada 53 kereta kebal yang diisi dengan ‘minyak Syria yang dicuri’ dibawa keluar dari wilayah Hasakah ke pangkalan-pangkalan tentera AS di wilayah Iraq.

Kegiatan itu dikatakan dilakukan bersama kumpulan Kurdish Syria yang mendapat sokongan Washington.

Laporan tersebut turut menyebut bahawa 60 trak tambahan menyeludup minyak dan gandum ke Iraq awal bulan ini.

“Hak-hak rakyat Syria sedang ‘dipijak-pijak’ dengan kejam oleh AS. Dengan hanya sedikit minyak dan makanan untuk digunakan, rakyat Syria bergelut untuk meneruskan kehidupan yang semakin sukar ketika musim sejuk ini.

“AS perlu menjelaskan mengenai kegiatan mereka itu,” ujar Wenbin.

Tentera AS kali pertama dihantar ke Syria pada 2014, bermula dengan kontinjen pengendali khas dan diikuti dengan tentera darat konvensional pada tahun berikutnya.

Ketika tempoh Barack Obama menjadi presiden, Washington hanya mengerahkan tenteranya ke Syria untuk memerangi militan Daesh dan kumpulan-kumpulan pemberontak.

Namun, pada 2019, ketika Donald Trump berkuasa, beliau mengakui bahawa sebilangan askar akan kekal di negara itu ‘untuk tujuan minyak’, sekali gus mencadangkan AS akan mengambil alih sumber-sumber tenaga.

Laporan selanjutnya pada 2020 kemudian mendedahkan bahawa pentadbiran Trump telah meluluskan perjanjian antara firma tenaga AS dengan pihak berkuasa Kurdish yang mengawal timur laut Syria untuk membangunkan dan mengeksport minyak mentah wilayah tersebut.

Kontrak tersebut dikritik oleh Damascus yang menganggapnya sebagai ‘dilakukan secara haram’.

Namun, selepas Presiden Joe Biden mengambil alih White House dan perjanjian tersebut dibatalkan, pihak berkuasa Syria berterusan menuduh Washington sebagai merompak sumber negaranya selain kira-kira 900 tentera AS kekal di negara itu secara haram. – Agensi 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI