fbpx

Taikun judi online hidup nomad

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Goh Leong Yeong

KUALA LUMPUR – Polis memperhebatkan usaha mengesan seorang lelaki bergelar taikun judi online dikenali sebagai ‘Datuk Alvin’ dalam kalangan pengikutnya termasuk mengawal pintu-pintu sempadan.

Satu sumber berkata, lelaki berusia 32 tahun itu hidup secara berpindah-randah bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

Polis telah mengeluarkan arahan kepada semua kontinjen negeri khususnya di sempadan negeri bagi memastikan ahli perniagaan, Goh Leong Yeong tidak meloloskan diri.

“Suspek mungkin sukar bergerak sekiranya berada di Lembah Klang disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), jadi kita tidak menolak kemungkinan dia sudah lari ke negeri lain,” katanya kepada Kosmo! hari ini.

Unit Siasatan Jenayah Berat, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman dengan bantuan Unit Operasi Khas JSJ Bukit Aman terlibat dalam operasi memburu suspek tersebut.

Setakat ini, lokasi persembunyian ‘kartel Low Yat’ itu masih menjadi tanda tanya.

Difahamkan, satu sidang akhbar mengenai perkembangan siasatan sindiket judi online akan diadakan oleh Pengarah JSJ Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed pada minggu ini.

Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador ketika dihubungi enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu.

Kosmo! pada Sabtu lalu melaporkan ahli perniagaan dikenali sebagai ‘Datuk Alvin’ yang menjadi buruan polis selepas berjaya meloloskan diri dari Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya.

Lelaki itu dikenali kerana penglibatannya yang aktif dipercayai dalam perniagaan judi online dan beroperasi di kawasan segi tiga emas, Bukit Bintang.

Polis percaya lelaki itu mempunyai banyak maklumat berhubung rangkaian serta aktiviti judi online di negara ini dan usaha mengesannya sedang diperhebatkan sekali gus memastikan kegiatan judi online di Malaysia lumpuh. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI