fbpx

Umar Uzair pasang impian pikat M. Nasir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
UMAR kini diberi kepercayaan menjadi penyanyi yang akan beraksi setiap bulan di kafe B’york KL sepanjang 2023.

BUKAN populariti yang dicari, sebaliknya perjuangan mengetengahkan lagu-lagu puisi masih menjadi keutamaan Umar Uzair sejak sedekad lalu.

Biarpun perjalanan dalam industri seni agak perlahan, namun Umar tetap berpegang kepada matlamatnya dalam mengangkat nilai bahasa Melayu dan puisi sebaris dengan lagu-lagu terkini.

Oleh yang demikian, Umar berkata, dia merancang untuk menerbitkan album ketiga dengan menjadikan tujuh buah puisinya sebagai lagu.

Malah, jejaka berusia 36 tahun ini meletakkan impian agar dapat bekerjasama dengan komposer terkenal Datuk M. Nasir bagi album baharu ini.

“Insya-Allah tahun ini saya akan keluarkan sebuah lagi album dengan tujuh buah lagu daripada tujuh puisi ciptaan saya.

“Buat masa ini saya masih mencari komposer-komposer yang sesuai. Sebenarnya ia juga satu cabaran kerana lagu-lagu puisi Nusantara ini susah untuk dimelodikan.

“Jadi memang sukar untuk cari komposer yang boleh buat dan faham dengan citra lagu. Saya letak impian dan berharap sangat dapat berkerjasama dengan Datuk M Nasir sebab muzik beliau ke arah Nusantara,” ujarnya.

Ujar Umar, dia kagum dengan karya-karya M. Nasir yang dianggap seiring zaman dan sentiasa mengikut perkembangan muzik semasa.

Ditanya sama ada dia sanggup untuk bertukar genre bagi memudahkan dirinya diterima masyarakat, Umar berkata, dia lebih selesa kekal sebagai penyanyi lagu puisi.

“Saya sebenarnya tidak mahu tukar genre jika tidak menjadi. Bagi saya biarlah perlahan tapi kita kekal dengan genre yang sama.

“Selagi boleh konsisten dengan apa yang saya lakukan sekarang lebih baik saya teruskan. Orang sastera dan puisi pun dah kenal saya dengan lagu-lagu seperti ini jadi saya tak mahu lari daripada pemahaman mereka,” ujarnya.

Umar percaya pendengar untuk lagu-lagu puisi ramai, hanya ruang untuk dia ke media arus perdana sangat terhad berbanding genre lain.

Katanya, dia perlu berusaha keras dan mencari ruang sendiri untuk keluar bertemu peminat.

Sementara itu, Umar juga berkata, dia mengintai peluang bekerjasama dengan beberapa artis wanita seperti Wany Hasrita, Misha Omar dan Dayang Nurhaliza.

Menurutnya, penyanyi-penyanyi terbabit mempunyai suara yang sangat lembut dan sesuai untuk menyanyikan lagu-lagu puisi.

“Saya masih menunggu untuk kerjasama dengan Wany Hasrita sebab suaranya sangat lembut.

“Selain Wany, saya juga berharap dapat berduet bersama Misha Omar dan Dayang Nurfaizah kerana vokal mereka sesuai dengan saya,” ujarnya.

Kecewa lirik lagu sekarang

Meluahkan pendapat peribadi, Uzair mengakui kecewa apabila banyak lagu popular kini mempunyai lirik yang kurang bagus.

“Sebenarnya banyak lagu yang bagus tapi lirik yang tidak sesuai. Bila kita dengar lagu yang melodinya sangat sedap tapi lirik tidak kreatif pada pendengar.

“Sebagai penyanyi dan penulis, kita bertanggungjawab mendidik khalayak menggunakan bahasa yang baik.

“Lagu sepatutnya bukan hanya untuk dinikmati malah menyebarkan ilmu,” ujarnya.

Dalam pada itu, Umar berbesar hati diberi peluang mengadakan persembahan Umar Uzair Semusim di kafe B’york KL, sepanjang tahun ini.

Pentas tersebut menjadi ruang buatnya mempersembahkan lagu-lagu puisi kepada pengunjung kafe berkenaan yang mahukan ketenangan.

“Alhamdulillah saya diberi peluang untuk mengadakan persembahan sepanjang tahun ini bermula Januari ini. Perancangannya setiap minggu kedua setiap bulan bergantung keadaan,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI