MUDAH bekerjasama dengan pengendali baharu Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Nafuzi Zain menjadi salah satu faktor utama Manuel Ott bersetuju menyertai skuad Sang Kenari selaku pemain import ASEAN musim ini.
Sebagai rekod, Nafuzi dan Ott pernah menjalinkan kerjasama selama setahun ketika bersama skuad Terengganu FC (TFC) pada musim lepas sebelum kedua-dua individu itu mengambil keputusan untuk ‘tukar angin’ ke utara tanah air.
Kata Ott, falsafah bola sepak yang diterapkan oleh Nafuzi menyebabkan dia tidak berfikir panjang apabila menerima lamaran untuk menyertai skuad Sang Kenari pada tahun ini.
“Taktikal bola sepak moden diamalkan Nafuzi menggunakan formasi 4-3-3 sangat sesuai dengan gaya permainannya di bahagian tengah dan saya sangat selesa dengan cara serta pendekatan tersebut.
“Jika diberikan tempoh bersesuaian, saya yakin bersama beliau, Kedah mampu menamatkan penantian kejuaraan yang ditunggu oleh penyokong setia kami.
“Namun, perlu diingat sebahagian besar pemain Kedah terdiri daripada muka-muka baharu dan sudah tentu, segalanya mengambil masa untuk kami serasi bersama serta memahami falsafah yang akan diterapkan Nafuzi,” katanya.
Pemain antarabangsa Filipina itu cukup teruja untuk mengharungi tahun ketiga dalam kancah Liga Malaysia (Liga M) selepas bersama Melaka United pada 2021 dan TFC musim lepas.
“Saya semakin selesa dengan kehidupan di Malaysia selain saingan juga bertambah kompetitif dari tahun ke tahun sejak saya bersama Melaka pada musim pertama.
“Pemain-pemain muda tempatan juga berada di tahap semakin baik dan saya rasa ini sesuatu yang baik untuk bola sepak Malaysia secara khusus terutama dengan perkembangan ditunjukkan pada Piala AFF,” katanya.