Saya ingin tanya, apakah hukum sebenar memasuki rumah ibadat agama lain seperti lawatan sekolah atau universiti ke kuil atau gereja. Jika alasannya untuk mempelajari bagaimana agama lain beribadat macam mana pula hukumnya?
Jawapan:
Malaysia merupakan sebuah negara yang memiliki masyarakat berbeza bangsa, budaya dan agama. Kesefahaman dan perpaduan masyarakat yang terbina, secara tidak langsung memberi kesan kepada keharmonian dan keamanan Malaysia.
Asas hubungan antara kaum ini adalah toleransi, ihsan dan perdamaian. Firman Allah SWT: “Allah tiada melarang kamu untuk berlaku baik dan berbuat adil terhadap orang-orang yang tiada memerangimu kerana agama dan tidak mengusirnya dari negerimu.”
Para ulama mempunyai beberapa pandangan mengenai hukum memasuki rumah ibadat agama lain.
Pertama, haram. Sebahagian ulama Shafi’e berpendapat bahawa memasuki rumah ibadat agama lain adalah haram.
Imam Syihabuddin al-Ramli di dalam kitabnya Nihayatul Muhtaj ila Syarh al-Minhaj telah menyebut maksudnya: “Gereja dan biara merupakan salah satu tempat orang-orang kafir kerana ia adalah tempat perlindungan bagi syaitan-syaitan dan adalah dilarang ke atas kita untuk memasukinya dan adalah ditegah kita daripadanya, sekiranya terdapat gambar di dalamnya.”
‘Illah pengharaman adalah kerana kewujudan patung-patung di dalam rumah ibadat tersebut.
Namun begitu, jika tiada patung di dalamnya, maka ia diharuskan.
Kedua, makruh, sebahagian ulama Mazhab Hanafi berpandangan bahawa memasuki rumah ibadat agama lain adalah makruh. Syeikh Ibnu Abidin dalam kitab Radd al-Muhtar ‘ala Durr al-Mukhtar menyebutkan:
“Makruh bagi seorang Muslim itu memasuki biara dan gereja.”
Ibnu Nujaim menukilkan fatwa daripada Ibnu al-’Ala al Ansari akan kemakruhan memasuki biara Yahudi dan gereja Nasrani kerana ia adalah tempat perkumpulan syaitan.
Namun, pandangan yang lebih tepat menurut Ibn Nujaim ialah hukumnya makruh tahrimi. Seperti mana yang telah ditegaskan olehnya di dalam kitab Al-Bahr al-Ra’iq:
“Makruh ke atas seorang Muslim untuk memasuki biara dan gereja. Dan adalah makruh memasukinya adalah disebabkan ia merupakan tempat pengumpulan syaitan dan bukanlah disebabkan tiada ke atasnya hak untuk memasuki gereja tersebut. Dan jelas bahawa hal itu adalah makruh tahrimi (mendekati haram).”
Ketiga, harus. Ini adalah pandangan daripada majoriti ulama Maliki, Hanbali dan sebahagian ulama Shafi’e.
Syeikh Muhammad al-Khatib al-Syarbani berpendapat bahawa seorang Muslim itu diharuskan untuk memasuki tempat ibadat agama lain dengan syarat sekiranya mendapat keizinan daripada mereka.
Pendapat ini telah disebutkan di dalam kitabnya Mughni al-Muhtaj:
“Seorang Muslim tidak diharuskan untuk memasuki gereja-gereja Ahli Zimmah kecuali dengan izin mereka. Hal itu dibolehkan sekiranya terdapat keizinan. Namun, kebolehan melakukan hal itu adalah sekiranya tidak terdapat gambar di dalam gereja tersebut.” (Lihat Mughni al-Muhtaj, Juz 4 hlm 337)
Syeikh Al-Qalyubi juga menyatakan bahawa: Para ulama bagaimanapun secara mutlak telah melarang umat Islam daripada memasuki rumah ibadat agama lain ketika mereka sedang melakukan ibadat.
Tindakan memasukinya ketika upacara ibadat sedang berlangsung diumpamakan kita turut menyertai kebatilan yang mereka lakukan itu.
Kesimpulannya, kami berpandangan bahawa hukum asal bagi seorang Muslim masuk ke dalam rumah ibadat agama lain adalah harus dengan syarat-syarat tertentu seperti lawatan sekolah atau universiti.