fbpx

Cara unik Erna Elliyana santuni warga emas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ERNA ELLIYANA yang merupakan pemilik salun memberi khidmat dandanan rambut percuma kepada penghuni Rumah Jagaan Dan Rawatan Orang Tua Al-Ikhlas.

KASIH kepada ‘ibu bapa’ tidak pernah berbelah bahagi, begitulah jiwa wanita itu yang sentiasa mengasihi warga emas meskipun mereka bukan darah dagingnya.

Berkongsi kasih dengan warga emas di Rumah Jagaan Dan Rawatan Orang Tua Al-Ikhlas, Puchong, Selangor, Erna Elliyana Rosli, 34, berpegang kepada pendirian bahawa ibu bapa perlu dijaga oleh anak mereka sendiri, bukan dihantar ke rumah orang tua.

Menurut usahawan itu, kehilangan ibu tercinta pada usia enam tahun memberi kesan mendalam kepada hidupnya.

Ujarnya, dia sentiasa merindukan kasih sayang dan sentuhan insan yang bergelar ibu.

“Saya sering merindui ibu, sewaktu kehilangannya, saya baru berusia tujuh tahun, tetapi apa yang saya lakukan adalah selalu positif kerana saya sering mengingatkan diri bahawa setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya.

“Saya kini menjadi seorang yang dewasa, matang dan sentiasa fokus kepada tujuan. Saya juga selalu mendoakan ibu supaya sentiasa dirahmati di sisi Allah SWT,” katanya yang merupakan pemilik bersama salun, ChezKamya Professional.

Tambahnya lagi, dia suka melakukan kerja kebajikan yang melibatkan rumah orang tua untuk berkongsi kasih dan perhatian bersama penghuni di sana.

Baru-baru ini, Erna Elliyana melakukan aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR) di Rumah Jagaan Dan Rawatan Orang Tua Al-Ikhlas.

Di sana, Erna Elliyana dan pasukan ChezKamya Professional tampil dengan idea baharu iaitu menyantuni dan memberi pengalaman menarik kepada warga emas di rumah kebajikan itu.

ERNA ELLIYANA

Objektif program berkenaan adalah untuk memberi pengalaman baharu kepada penghuni serta merasai sentuhan dandanan rambut daripada ChezKamya Professional.

Menariknya, video CSR yang dianjurkan Erna Elliyana juga tular apabila beberapa pengguna media sosial berkongsi momen suka duka program berkenaan.

Kongsi Erna Elliyana, jiwanya tersentuh apabila melihat keadaan serta mendengar beberapa kisah warga emas di pusat jagaan itu yang ditinggalkan anak-anak mereka.

Jelasnya, warga emas sepatutnya berada bersama keluarga untuk bergembira, berkongsi masalah dan mendapat perhatian.

“Banyak cerita yang dikongsi oleh warga emas di pusat penjagaan ini. Ada yang mahu ke sini secara sukarela, dibuang anak-anak kerana keuzuran dan perebutan harta.

“Ada banyak lagi kisah yang mereka tidak ceritakan kepada kami kerana sebahagian besar penghuni di sini mengalami masalah Alzheimer.

“Saya sama sekali tidak menyokong tindakan anak-anak menghantar ibu bapa ke rumah orang tua ini.

“Kita harus sedar bahawa tanpa ibu bapa, tiada kita di atas muka bumi ini. Sejak kecil, mereka sudah bersusah payah menjaga dan memberi makan kepada kita,” ujarnya.

Tambahnya lagi, ibu bapa ibarat raja dan permaisuri dalam hidup anak-anak.

Dia juga selalu mengingati pesan seorang ustaz bahawa di dalam dunia ini terdapat beberapa rahmat percuma yang harus dimanfaatkan.

Katanya, rahmat tersebut adalah melihat Kaabah, laut, al-Quran dan terakhir, wajah kedua-dua ibu bapa.

“Kita perlu manfaatkan momen indah selagi ibu bapa masih hidup. Ingat doa ibu bapa tiada hijab. Malah, di dalam al-Quran ada menyebut bahawa jika mahu buat kebajikan utamakan dulu kepada ibu bapa, kaum kerabat, diikuti anak yatim, kemudian baru orang lain.

“Itu yang selalu saya tanamkan dalam diri. Walaupun sudah tiada ibu, namun saya dikurniakan ibu mentua yang penyayang dan menyayangi diri ini sama seperti anak-anak perempuannya yang lain,” kongsinya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI