fbpx

Mardi bakal jalin kerjasama dengan pertubuhan penyelidikan Iran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohamad (kiri) menerima kunjungan hormat Duta Besar Iran di Malaysia, Ali Asghar, di Putrajaya, baru-baru ini.

PETALING JAYA – Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) dan Pertubuhan Penyelidikan, Pendidikan dan Pengembangan Pertanian (AREEO) yang berpangkalan di Tehran, Iran dijangka menandatangani perjanjian kerjasama dalam tempoh terdekat.

Laman Facebook milik Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS) memaklumkan, kerjasama itu susulan kunjungan hormat Duta Besar Iran di Malaysia, Ali Asghar Mohammad, ke atas Menteri MAFS, Mohamad Sabu di Putrajaya pada 10 Januari lalu.

“Pertemuan itu bagi mempertingkatkan kerjasama dua hala dalam bidang pertanian terutamanya dalam bidang penyelidikan dan pembangunan. Iran bersedia untuk berkongsi pengalaman dan kepakaran dalam bidang penyelidikan dan pembangunan.

“Selain itu, Iran juga mengharapkan kepakaran dan pengetahuan Malaysia dalam bidang akuakultur dalam membangunkan sektor akuakultur di Iran,” kata laman Facebook berkenaan, hari ini.

Menurut laman Facebook tersebut, Iran juga bersedia berkongsi kepakaran teknologi dalam sistem terkini pengairan tanaman dan sistem pengurusan air.

Kedua-dua negara malah bersedia untuk memperkukuhkan perdagangan dua hala dalam bidang pertanian selaras dengan keperluan bagi menjamin sumber makanan yang mampan dan berterusan.

“Pertemuan ini turut dihadiri oleh Ketua Setiausaha MAFS dan pegawai-pegawai kanan MAFS serta Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar dan wakil-wakil Jabatan Pertanian, Jabatan Perikanan dan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia,” kata laman Facebook itu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI