JOHOR BAHRU – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Negeri Johor menumpaskan kegiatan sindiket penyeludupan arak disyaki tidak bercukai berjumlah RM1.845 juta dalam dua serbuan berasingan di Ulu Tiram dan Pasir Gudang, di sini.
Pengarah Kastam Johor, Misbahudin Parmin berkata, dalam kes pertama, sindiket terbabit menyeludup minuman keras itu dengan meletakkan di dalam kotak minuman jus epal bagi mengaburi mata pihak berkuasa.
Beliau berkata, perbuatan itu terbongkar setelah sepasukan anggota daripada Bahagian Penguatkuasaan Pasir Gudang telah menjalankan pemeriksaan ke atas tiga buah kontena di Pelabuhan Johor, Pasir Gudang pada 30 November lalu.
“Hasil pemeriksaan ke atas dokumen pengikraran muatan dagangan kapal mendapati bahawa dagangan telah diikrar sebagai air minuman jus epal berkarbonat.
“Pemeriksaan lanjut yang dijalankan ke atas tiga kontena itu bersama pasukan risikan Zon Selatan dan wakil syarikat penghantaran mendapati 40 peratus daripada barangan dagangan itu adalah minuman keras yang disorokkan dalam kotak minuman berkarbonat.
“Modus operandi sindiket penyeludupan ini adalah dengan membuat pengikraran palsu. Kesemua karton arak itu tidak diikrarkan dalam muatan dagangan yang dianggarkan bernilai RM1.742 juta,” katanya pada sidang akhbar di Menara Kastam Johor, di sini hari ini.
Kes disiasat di bawah Seksyen 133(1)(a) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 135(1)(a) Akta yang sama.
Misbahudin berkata, kesemua minuman keras itu dipercayai diseludup masuk dari China untuk memenuhi pasaran tempatan.
Jelasnya, dagangan arak tersebut adalah larangan import dan tertakluk kepada Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2017 di mana pengimportan dagangan ini memerlukan lesen import dari Ketua Pengarah Kastam.
Dalam kes berasingan, Misbahudin memberitahu, pihaknya turut membongkar satu lagi kegiatan penyeludupan minuman keras dengan melakukan serbuan sebuah rumah teres dua tingkat di Desa Cemerlang, Ulu Tiram, 1 Januari lalu.
Katanya, dalam serbuan itu, pihaknya menahan seorang lelaki warga Bangladesh berusia 34 tahun dan merampas sejumlah minuman keras pelbagai jenama yang tidak bercukai bernilai RM103,400.
Tambahnya, kegiatan itu terhasil hasil intipan dan siasatan yang dijalankan sejak sebulan yang lalu.
“Modus operandi sindiket penyeludupan ini dengan menjadikan rumah kediaman itu sebagai tempat penyimpanan arak itu. Arak itu dipercayai diperolehi dari pasaran tempatan dan luar negara sebelum diedar ke pasaran tempatan,” ujarnya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan turut disiasat di bawah Seksyen 74(1)(c) Akta Eksais 1976.-KOSMO! ONLINE.