MELAKA – Kehidupan ceria seorang remaja perempuan berubah sekelip mata selepas dia diserang penyakit sawan yang menyebabkannya terlantar dan tidak mampu menguruskan diri sejak dua tahun lalu.
Faridah Loyot, 43, berkata, keadaan kesihatan anaknya, Allieya Maiesara Rosli, 20, itu semakin merosot sejak bulan lalu selepas diserang sawan tiga kali berturut-turut menyebabkannya dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Melaka.
Ujarnya, Allieya kemudiannya telah dipindahkan ke wad biasa dan perlu menjalani rawatan susulan fisioterapi terutama pada bahagian kaki bagi membolehkannya berjalan semula.
“Pihak fisio ada minta belikan tongkat sokongan untuk Allieya, tetapi saya memang tidak mampu. Ada tengok di laman web dan harga paling murah ialah RM300.
“Saya memang tidak bekerja kerana perlu menjaganya dan suami, Rosli Yaacob, 53, pula hanya mencari rezeki sebagai pengawal keselamatan.
“Kami bergelut untuk menyediakan keperluan Allieya termasuk lampin dan susu khas berharga RM200 sebulan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Limbongan Permai di sini kelmarin.
Mengulas lanjut, beliau mengakui terpaksa berulang-alik ke Hospital Melaka menggunakan perkhidmatan Grab untuk menjaga Allieya hampir setiap hari.
“Setiap kali pergi hospital, kos yang diperlukan adalah RM20 dan untuk seminggu, saya perlu belanjakan RM100,” katanya.
Jelasnya, selain bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), keluarganya turut mendapat sumbangan bekalan makanan daripada Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) setiap bulan.
Orang ramai yang ingin menyalurkan bantuan boleh menyumbang menerusi akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) 0413241000045363 atas penama Faridah Loyot atau mengubunginya di talian 011-2784 0855.