Selain dimomokkan dengan krisis makanan, Kadar Dasar Semalaman (OPR) juga menghambat kehidupan kita sepanjang 2023.
‘Hadiah’ tahun baharu itu sememangnya menggusarkan pemikiran setiap penghutang bank terutama rakyat yang membuat pinjaman peribadi dan pembiayaan perumahan.
Belum selesai lagi kenangan pahit mengenai peristiwa hitam yang berlaku dalam hidup ketika negara dilanda pandemik Covid-19 untuk dilupakan, alih-alih ditambah pula dengan dua perkara tersebut.
OPR dijangka naik lagi sebanyak dua kali pada suku pertama tahun ini mencecah 50 mata asas sekali gus menjadikan kadar terminal baharu sebanyak 3.25 peratus sejajar dengan standard industri.
Walaupun apa alasannya, kenaikan OPR sememangnya membebankan kita. Jika pinjaman biasa itu kita sudah maklum pembayaran bulanan yang sentiasa berubah tetapi ia turut terpalit kepada mereka yang membuat akad ketika menurunkan tandatangan untuk pembiayaan Islam.
Penjualan yang telah dipersetujui oleh kedua-dua belah pihak nampaknya tidak memberi kelebihan kepada peminjam. Wahai pihak bank, kan kita sudah bersetuju untuk jumlah yang dinyatakan kenapa masih mahu menambah faedah sedangkan ia sudah diakadkan?
Apakah nama Islam yang digunakan pada perjanjian dan juga produk pembiayaan sekadar untuk menarik perhatian orang ramai sedangkan kamu tidak mengikut apa yang telah kita persetujui?
Setiap hari kita trauma apabila menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) yang dihantar oleh pihak bank mengatakan jumlah pembiayaan akan berubah selepas kenaikan OPR.
Tak cukup dengan SMS mereka susuli pula dengan surat dan juga e-mel. Tekanan demi tekanan diberikan kepada peminjam yang akhirnya mengundang kemurungan. Sudahlah stres di atas jalan yang sentiasa sesak, sampai pula sampul berwarna putih tertera nama bank di atasnya.
Kumpulan-kumpulan WhatsApp di dalam telefon bimbit kita penuh dengan keluhan akibat kenaikan tersebut. Perbincangan hangat dilakukan dengan masing-masing memberikan pandangan dan jika ada yang gagal kawal emosi, maka makian dan cacian pula dilontarkan.
Dengan kenaikan kos sara hidup dan kesukaran mendapatkan barangan asas seperti minyak peket dan telur ayam, masalah ekonomi global bermula dengan peperangan perdagangan Amerika Syarikat-China sebelum disusuli konflik Russia-Ukraine ternyata memberi kesan mendalam dalam kehidupan kita.
Nampaknya kita seperti masih belum lagi terlepas daripada amukan pandemik. Masih ramai yang melakukan dua kerja dan lepasan universiti khususnya yang mengambil jurusan sains dan kejuruteraan lebih gemar bekerja di luar bidang pembelajaran.
Mereka selesa bekerja di restoran makanan segera kerana ia lebih meringankan kepala selain lebih suka berdepan kepenatan fizikal berbanding keletihan otak.
Selamat datang ke tahun 2023 yang penuh cabaran yang mana keadaannya tak ubah seperti mainan tular lato-lato dihentak atas dan bawah.