fbpx

Pekerja asing suka Malaysia, lubuk cari rezeki

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN
ZULKIFLI MANZOR,
WARTAWAN EKSEKUTIF

Baru-baru ini penulis ber­ta­nyakan tentang Malaysia kepada seorang etnik Rohingya yang sudah empat tahun berada di negara ini.

Perkataan syukur dan ahamdulillah tidak lekang di bibir pemuda berusia 28 tahun itu tatkala menyebut tentang Malaysia.

Tutur katanya menggambarkan betapa dia gembira berada di negara ini walaupun terpaksa meninggalkan kampung halaman.

Menurut lelaki dikenali sebagai Kalam itu, negara asalnya bergolak, tetapi di Malaysia masyarakatnya hidup aman.

“Saya jalan kaki sebulan lebih baru sampai Malaysia, ejen bawa saya dan empat kawan. Dua kawan mati sakit tengah jalan,” dakwanya.

Dakwaan itu tentunya amat sukar untuk dipastikan kesahihannya, tetapi Kalam kelihatan bersungguh menceritakannya.

“Sini (Malaysia) selamat dan boleh cari wang. Kampung, saya bila-bila boleh mati. (Mahu) tolong keluarga pun susah,” dakwanya lagi.

Seorang warga Indonesia dikenali Ahmad, 52, memberitahu, dia sudah 11 tahun di Malaysia dan bekerja sebagai buruh.

Dia yang mengaku memiliki dua isteri dan 11 anak di negara asal menyasarkan untuk pulang ke Indonesia tidak lama lagi.

Jelasnya, ketika ini dia sedang menyiapkan sebuah rumah enam bilik di kampung halaman dengan kos RM40,000.

“Saya sudah ada tanah. Sekarang sedang buat rumah. Rumah siap dan dapat kumpul sedikit lagi wang untuk pulang,” katanya.

Kedua-dua pengakuan pe­kerja asing itu jelas membuktikan betapa Malaysia merupakan lubuk rezeki bagi ramai rakyat negara lain.

Mereka meninggalkan ke­luar­ga dan bergadai nyawa untuk ke Malaysia bagi mencari rezeki mahupun keamanan.

Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) setakat Jun tahun lalu merekodkan seramai 2.1 juta warga asing sedang bekerja di Malaysia.

Mereka mengisi kekosongan kerja-kerja buruh dalam pelbagai sektor termasuk perladangan, pembinaan dan perkilangan.

Golongan majikan mendakwa mereka mengupah pekerja asing kerana tidak ramai rakyat Malaysia mahu bekerja dalam sektor-sektor tertentu.

Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Mohd. Effendy Abdul Ghani bagaimana­pun kurang bersetuju dengan pandangan berkenaan.

Menurut beliau, rakyat Malaysia bersedia untuk bekerja dalam apa jua sektor dengan kadar gaji atau upah yang sewajarnya.

“Bagi MTUC pemain industri perlu utamakan pekerja tempatan. Jika tidak mencukupi baru industri mengambil pekerja asing.

“Kadar upah pekerja asing dan tempatan perlu adil. Pekerja ­asing tiada komitmen (kewa­ngan). Penginapan, pengang­kutan bekerja disediakan.

“Mereka cuma perlu kumpul wang hantar ke kampung. Pe­kerja tempatan banyak komitmen lain,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Seorang pekerja p-hailing berusia 24 tahun pula mendakwa lebih berbaloi bekerja sebagai penghantar makanan berban­ding kerja kilang.

Dia yang hanya mahu dikenali sebagai Jai mendakwa mempe­roleh pendapatan setaraf gra­duan universiti sebagai pekerja p-hailing.

Walau apa kontroversi yang timbul disebalik isu pekerjaan tersebut, ternyata Malaysia menarik minat ramai warga asing untuk bekerja di sini.

Polemik yang berlaku terus membuka peluang kepada rakyat negara lain untuk mencari kehidupan yang lebih baik di bumi Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI