SEREMBAN – Polis sedang mengesan seorang pemilik akaun Facebook yang menggunakan nama Agnes Cheong bagi siasatan berhubung hantaran komen di media sosial tersebut yang didapati menyentuh isu berbaur perkauman.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Abdul Malik Hasim berkata, siasatan itu susulan seorang wanita yang membuat laporan polis pada November lalu.
“Seorang pemilik Facebook menggunakan nama Agnes Cheong telah menulis komen pada gambar dengan menyentuh isu sensitif dan menyentuh kerabat diraja.
“Wanita itu mendakwa pemilik akaun itu meninggalkan komen tidak elok pada gambar ketika menerima pingat Datuk Seri,” jelasnya.
Tambah Abdul Malik, Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis(IPD) Nilai telah membuka kertas siasatan dibawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Hasil siasatan mendapati hantaran tersebut telah dipadam dan pihak polis sedang berusaha mengesan pemilik akaun untuk siasatan lanjut,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE