fbpx

Malaysia harus benam New Zealand

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ARUL (kiri) menuntut prestasi lebih bertenaga daripada anak-anak buahnya menjelang aksi bertemu New Zealand di Stadium Kalinga hari ini. - FARIZ RUSADIO

BHUBANESWAR – Walaupun sudah sebelah kaki ke peringkat crossover tetapi ketua jurulatih Malaysia, A. Arul Selvaraj tetap mahukan kemenangan menje­lang aksi menentang New Zealand di Stadium Kalinga hari ini.

Kemenangan ke atas New Zealand akan membolehkan skuad hoki negara menamatkan aksi Kumpulan C di tangga kedua untuk bertemu Sepanyol yang dijangka menjadi pasukan ketiga Kumpulan D di peringkat crossover nanti.

Jika tewas, tugasan lebih sukar menanti Malaysia kerana perlu berdepan tuan rumah India atau England sebagai naib juara Kumpulan D bergantung kepada keputusan masing-masing hari ini.

Sehubungan itu, Arul menuntut prestasi yang lebih bertenaga daripada anak-anak buahnya selepas mereka dilihat ‘bergelut’ untuk menewaskan pasukan ranking terendah kejohanan, Chile 3-2 di Rourkela pada Isnin lalu.

“Kemenangan amat penting kerana tiada perlawanan yang mudah di Piala Dunia. Apa gunanya kalau berikan persembahan terbaik tetapi anda tewas, jadi menang tetap menang.

“Di sini saya mahukan keputusan sama ada anda menang 1-0 atau 10-0, kemenangan tetap menjadi perkara paling utama.

“Sekarang saya tidak fikir siapa­ lawan kami di crossover, saya hanya mahu kami menang menentang New Zealand. Piala Dunia empat tahun sekali, jadi pemain perlu berikan yang terbaik,” katanya.

Dalam masa sama, Malaysia berdepan tamparan besar apabila kehilangan khidmat penyerang, Muhammad Shahril Saabah untuk aksi bertemu New Zealand disebabkan kecederaan hamstring kiri ketika menentang Chile.

Berdasarkan rekod, Malaysia pernah mencatat enam kemenangan dan enam seri tetapi tewas 13 kali sepanjang 25 pertembungan dengan New Zealand sejak kali pertama bertemu pada Piala Dunia 1975.

Kali terakhir skuad negara menewaskan The Black Sticks sewaktu aksi Test Match 2018 di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil dengan keputusan 4-2 hasil jaringan Muhammad Razie Abd. Rahim, Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Jalil, Faizal Saari dan Nik Aiman Nik Rozemi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI