fbpx

Capital A sasar buka 21 landasan MRO menjelang 2024

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tunku Ismail menerima cenderamata daripada Tony Fernandes sambil diperhatikan oleh Onn Hafiz sempena Majlis Pelancaran Asia Digital Engineering (ADE) Senai Hangar di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai Kulai, Johor hari ini.

KULAI – Asia Digital Engineering (ADE) yang merupakan cabang kejuruteraan Capital A (dahulunya AirAsia Group Berhad) bercadang untuk menambah kemudahan Penyelenggaraan, Pembaikan dan Baik Pulih (MRO) kepada 21 landasan menjelang 2024.

Ketua Pegawai Eksekutif ADE, Mahesh Kumar berkata, ketika ini pihaknya memiliki tujuh landasan MRO iaitu satu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), empat di Subang dan dua di Senai.

Menurut beliau, pembukaan dua landasan MRO di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai hari ini memberi akses mudah kepada negara-negara yang berkembang pesat di Asia Pasifik kerana lokasi yang strategik.

“ADE melihat pembangunan ini sebagai peluang keemasan untuk mengembangkan kehadiran dan kepakaran kami dalam sektor MRO, terutamanya dalam membawa lebih banyak pelaburan asing ke negeri dan negara ini melalui industri aeroangkasa.

“Sejajar dengan visi ADE untuk memupuk bakat dan komuniti, kami juga akan mengembangkan fungsi kemudahan ini sebagai pusat latihan untuk ahli profesional penerbangan dan pelajar kejuruteraan aeroangkasa di seluruh negara dan rantau ini.

“Kami percaya pelaburan kepada kakitangan kami dan komuniti adalah cara terbaik untuk mengembangkan syarikat ini,” katanya selepas Majlis Perasmian Fasiliti ADE di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai hari ini.

Berkenan berangkat menyempurnakan majlis, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim. Turut hadir, Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Capital A, Tan Sri Tony Fernandes memberitahu, pelancaran dua landasan itu bertujuan mengukuh kedudukan syarikatnya dalam menawarkan perkhidmatan MRO terbaik dengan kecekapan tinggi untuk rantau ini.

Menurut beliau, ADE akan meletakkan Johor dan Malaysia sebagai penyedia perkhidmatan MRO terkemuka dunia untuk AirAsia dan syarikat penerbangan di rantau ini.

Hangar seluas 5,000 meter persegi tersebut dibina di atas kawasan seluas 107.4 ekar di Zon Perindustrian Bebas Lapangan Terbang Senai (SAFIZ). Ia merupakan kemudahan MRO pertama di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai dan kemudahan MRO ketiga milik ADE. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI