KUALA LUMPUR – Sebanyak 49 pekerja Proton kini positif Covid-19 sejak kes pertama membabitkan kakitangan syarikat tersebut dilaporkan pada 14 Oktober lalu.
Proton dalam satu kenyataan memaklumkan, semua pekerja yang terlibat adalah daripada bahagian kejuruteraan dan mereka telah dilaporkan kepada pihak berkuasa.
Menurutnya, semua pekerja tersebut tidak perlu hadir secara fizikal ke kilang Proton Shah Alam kerana telah diarahkan untuk bekerja dari rumah.
“Pihak syarikat akan terus mengikuti langkah-langkah pembasmian yang disyorkan sambil mengambil tindakan lebih ketat untuk mengurangkan penularan wabak ini.
“Aktiviti pengesanan kontak sedang dijalankan dan pasukan khas Covid-19 akan memantau situasi terkini secara terperinci,” katanya hari ini.
Proton menegaskan, mereka akan terus mengikuti semua garis panduan dan prosedur yang disyorkan dengan ketat.
Katanya, ia telah diamalkan semenjak wabak tersebut menular di dalam negeri.
“Semua pekerja yang berhadapan dengan pelanggan perlu mengikuti langkah keselamatan dan Pusat Servis Kecemerlangan (COSE) serta bilik pameran Crystal melakukan pembasmian kuman pada setiap jam.
“Proton juga bekerja rapat dengan pihak berkuasa yang telah memberikan panduan kepada syarikat berkaitan dengan semua proses dan mereka juga berpuas hati dengan tindakan yang telah diambil buat masa ini.
“Keselamatan semua pekerja Proton, para pelanggan dan rakyat Malaysia akan sentiasa kekal sebagai keutamaan kami,” katanya. – K! ONLINE