PEMAIN sayap naturalisasi negara, Mohamadou Sumareh sedang berusaha sedaya upaya mencapai tahap kecergasan terbaik dalam usaha meraih peluang membuat debut bersama Police Tero FC dalam kancah Liga Thailand musim ini.
Kali terakhir Sumareh, 26, bermain aksi kompetitif adalah ketika mewakili bekas pasukannya, Pahang sewaktu menentang Melaka United pada Mac lalu sebelum saingan Liga Super ditunda ekoran penularan pandemik Covid-19.
Disebabkan itu, Sumareh tidak disenaraikan oleh Police Tero ketika mencatat keputusan seri 2-2 dengan PT Prachuap FC di Stadium Sam Ao, Sabtu lalu selepas menyertai pasukan itu secara pinjaman pada 7 September lepas.
“Saya sudah lama tidak bermain perlawanan kompetitif, jadi fokus saya sekarang lebih kepada mendapatkan tahap kecergasan terbaik sebelum perlawanan menentang Muangthong (di Stadium Boonyachinda, Bangkok pada 25 Oktober ini).
“Saya perlu memastikan diri bersedia pada bila-bila sahaja jurulatih mahukan. Sudah tentu jangkaan tinggi terhadap saya kerana mereka percayakan saya.
“Jadi, saya mahu beraksi dengan bagus supaya tidak menghampakan mereka. Saya akan cuba balas kepercayaan mereka,” katanya yang dipetik daripada Thai League iaitu laman rasmi Instagram liga utama Thailand.
Jika mencapai tahap kecergasan terbaik, Sumareh mampu menjadi aset tambahan Police Tero berdasarkan kelajuan larian dan kemahiran menggeleceknya yang mampu mengelirukan pemain pertahanan pasukan lawan.
Kehadiran pemain yang dilahirkan di Gambia itu dilihat mampu membantu pasukan Police Tero mencatat kemenangan kesembilan ke atas Muangthong sepanjang 25 pertemuan antara mereka sejak Jun 2009 ketika masih lagi di bawah nama BEC Tero Sasana.