fbpx

Lelaki didenda RM10,000, penjara 10 hari rasuah koperal polis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kalaithasan didenda RM10,000 dan penjara selama 10 hari selepas mengaku bersalah memberi suapan RM200 kepada seorang anggota polis ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Khas Rasuah di Butterworth, di sini hari ini.

SEBERANG PERAI – Gara-gara memberi suapan sebanyak RM200 kepada seorang anggota polis dua tahun lalu, seorang pemandu van kilang menerima padah apabila didenda RM10,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah di Butterworth, di sini hari ini.

Tertuduh, M. Kalaithasan, 53, yang turut dijatuhkan hukuman penjara selama 10 hari membuat pengakuan itu ketika pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah.

Zulhazmi turut memerintahkan agar tertuduh menjalani hukuman penjara selama lima bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa telah memberi suapan dalam bentuk wang tunai berjumlah RM200 kepada seorang anggota polis berpangkat koperal.

Ia sebagai dorongan untuk anggota polis itu agar tidak menahan dan menyamannya atas kesalahan di bawah Peraturan 16, Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (No3) 2021 iaitu membawa lebih muatan orang melebihi kapasiti yang dibenarkan.

Kesalahan tersebut didakwa dilakukan kira-kira pukul 5.10 petang, pada 28 Jun 2021 di Lorong Perusahaan 4 iaitu berhadapan sebuah kilang di Bukit Tengah, Bukit Mertajam di sini.

Justeru, tertuduh didakwa melakukan satu kesalahan di bawah Seksyen 17 (b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta yang sama.

Difahamkan, tertuduh bagaimanapun membayar denda yang dikenakan terhadapnya bagi mengelakkan daripada dipenjara untuk tempoh yang lebih lama. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI