fbpx

Salah siapa sampai pekerja sakit mental?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ramai pekerja mengalami masalah kesihatan mental di tempat kerja. - GAMBAR HIASAN
NUR AL-FAIRUZA SYARFA NIOR SAIDI, WARTWAN EKSEKUTIF

SETIAP individu bukan sahaja perlu menjaga kesihatan diri, malah harus menitikberatkan soal tahap mental terutama bagi golongan muda.

Meskipun kesedaran penyakit mental semakin meluas, namun timbul juga stigma negatif beberapa pihak yang memandang enteng isu tersebut.

Kononnya, pesakit mental hanya berpura-pura mempunyai penyakit tersebut dan dikongsi di media sosial seperti Instagram.

Hakikatnya, isu penyakit mental merupakan masalah kedua terbesar selepas penyakit jantung dengan statistik Kementerian Kesihatan (KKM) pada 2017 menyatakan sebanyak 29.2 peratus orang dewasa dan 12.1 peratus kanak-kanak mengalami masalah kesihatan mental.

Persoalannya, apa sebenarnya punca penyakit mental terutama melibatkan isu di tempat kerja?

Pegawai Psikologi Universiti Teknologi Mara Cawangan ­Negeri Sembilan Kampus Rembau, Nasrullah Zainal Abidin berkata, terdapat pekerja yang terganggu emosi dan kesihatan mentalnya akibat dari tingkah laku dan ‘attitude’ pihak atasan.

“Perhubungan majikan dan pekerja tidak dinafikan boleh menjadi faktor kepada tekanan di tempat kerja.

“Umum sedia maklum bahawa pelbagai faktor boleh menyumbang kepada berlakunya tekanan di tempat kerja. Antaranya bebanan kerja berlebihan, komunikasi tidak efektif, tidak mempunyai hala tuju yang jelas dalam orga­nisasi dan kurang penghargaan kepada pekerja,” kata Nasrullah.

Atas sebab itu, tidak hairanlah ada dalam kalangan masyarakat yang mengadu stres apabila me­langkah ke alam pekerjaan.

“Tidak dinafikan terdapat pekerja yang mendapat tekanan dari majikan yang bersifat terlalu rigid dalam pengurusan organisasi. Dalam erti kata lain, pekerja tidak diberi ruang untuk membuat keputusan atau terlibat dalam apa-apa perkara yang melibatkan pengurusan.

“Dalam bahasa mudahnya, majikan yang bersifat kuku besi. Ini akan menjejaskan emosi dan motivasi pekerja dan akan me­nurunkan motivasi kerja sedikit demi sedikit,” jelasnya.

Bagaimanapun, penyakit mental bukanlah 100 peratus berpunca daripada majikan itu sendiri. Bahkan, ia juga terjadi daripada individu atau pekerja yang kurang cekap.

“Pekerja mempunyai pelbagai tahap kompetensi dan pengetahuan. Ada sesetengah memerlukan perhatian serta bimbingan yang lebih dari majikan.

“Setiap organisasi mempunyai sasaran dan nilai yang diterapkan kepada pekerja. Jadi, setiap pekerja perlu akur dengan nilai yang diterapkan oleh majikan.

“Terdapat juga pekerja yang tidak mampu mengikuti sasaran dan nilai yang diterapkan oleh majikan sehingga menimbulkan konflik dalam diri,” tuturnya.

Nasrullah menambah, majikan dan pekerja harus bertolak ansur dalam organisasi untuk mencapai kata sepakat memandangkan mereka saling berkait rapat untuk bekerjasama di bawah satu bumbung.

“Majikan mahupun pekerja mampu menyumbang kepada kesejahteraan emosi pekerja di tempat kerja. Komunikasi di tempat kerja amat penting bagi mewujudkan keharmonian.

“Perbincangan yang dilakukan dapat mengurangkan salah faham dan persepsi negatif dalam diri majikan dan pekerja serta mencari titik pertemuan.

“Persefahaman mampu menjadikan persekitaran kerja yang harmoni. Kesannya, motivasi dan produktiviti pekerja dapat ditingkatkan dan kesejahteraan emosi dapat dipelihara,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI