PUTRAJAYA- Kumpulan penjawat awam digesa untuk tidak berdiam diri jika mengesan wujud sebarang perlanggaran undang-undang yang dibuat pihak atasan mereka.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, bagaimanapun, setiap teguran itu mempunyai mekanisme dan prosedur tertentu untuk disalurkan umpamanya mengemukakan pandangan ketika mesyuarat pasca Kabinet kementerian masing-masing.
Namun, katanya, jika teguran itu dirasakan agak menyinggung ketua mereka, maka ia boleh membuat secara berasingan atau tidak dilakukan di depan khalayak.
“Jangan lah buat kenyataan (teguran) itu kat RTM (media), dia ada mekanisme untuk menegur, pertemuan saban hari ada mesyuarat pasca Kabinet, kemukakan pandangan, kalau dia rasa agak menyinggung, mungkin dia jumpa secara berasingan, tetapi harus menegur.
“Saya cakap kepada KSN (Ketua Setiausaha Negara) kalau arahan saya cukup dan mengikut peraturan sesuai, kalau tidak, tolong nasihat. Inilah kerja pasukan.
“Namun, dia juga kena terima kenyataan bahawa kadang-kadang keterlanjuran mereka (penjawat awam) kita juga harus tegur, jika tidak kita (menyemai) budaya rasa takut, makna bila ada perlanggaran, dia diam,” katanya pada sidang akhbar selepas mesyuarat Kabinet di Pejabat Perdana Menteri di sini tadi. -KOSMO! ONLINE