PETALING JAYA – “Lelaki gaduh lain. Hari ini gaduh, esok dia berkawan baik.”
Itu kenyataan dari bibir pelakon Sharnaaz Ahmad berhubung kes mahkamah melibatkan pertuduhan mendatangkan kecederaan terhadap seorang lelaki di sebuah kondominium Jun tahun lalu.
Kata Sharnaaz atau nama sebenarnya Sharnaaz Ahmad Basir Ahmad, kalau boleh, dia tidak mahu memanjangkan kes mahkamah yang dihadapinya tersebut.
“Saya sebenarnya tidak mahu memanjangkan apa-apa kes di sini, tapi apa saja keputusan kita tak boleh membelakangi pihak mahkamah.
“Tapi bagi saya ini adalah perkara ‘basic’ di antara lelaki sama lelaki, kita semua ada angin kita. Lelaki gaduh ini lain, hari ini gaduh, esok dia berkawan baik,” katanya.
Terdahulu, Sharnaaz, 38, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mendatangkan kecederaan terhadap seorang lelaki di sebuah kondominium Jun tahun lalu.
Sharnaaz selaku Orang Kena Saman (OKS) membuat pengakuan tidak bersalah tersebut selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Atiqah Mohamed @ Mohamad Saim.
Mengikut pertuduhan, pelakon filem Jebat itu didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap seorang lelaki berusia 27 tahun di kawasan lif pintu masuk sebuah blok kondominium di Jalan Dutamas di sini pukul 8.30 malam pada 16 Jun 2022.
Dalam pada itu, Sharnaaz mengakui kes mahkamah tidak mengganggu komitmennya untuk memberikan yang terbaik buat filem arahan sutradara sensasi, Syamsul Yusof berjudul The Original Gangster.
Duda anak satu itu selesa bersikap profesional apabila melibatkan kerjaya dan tidak mahu fokusnya terganggu.
“Insya-Allah tiada apa yang menganggu, kita fokus dengan apa yang kita perlu fokus.
“Kerja harian kita adalah kerja harian kita.
“Ini adalah orang kata, satu warna dalam hidup kita dan kita kena berseronok dengan warna-warna walaupun warna itu kadang-kadang tak begitu elok tapi berseronok sahajalah,” katanya. – KOSMO! ONLINE