KUALA LUMPUR – “Tiada wanita yang ingin bercerai tanpa sebab. Kita tidak boleh bercakap banyak kerana masing-masing ada kekurangan dan kelebihan.”
Itu respons pelakon Diana Danielle yang menyifatkan keputusan rakan baiknya, Puteri Sarah Liyana memfailkan perceraian ke atas Syamsul Yusof sebagai satu tindakan bersebab dan mempunyai alasan kukuh.
Menurut Diana, 31, walaupun persahabatannya dengan Puteri Sarah sangat akrab, dia tetap tidak berpihak kepada mana-mana individu. Malah, sebagai wanita dia amat memahami perasaan yang dilalui oleh Puteri Sarah.
“Saya tidak mahu berpihak kepada sesiapa berhubung isu berkenaan, namun sebagai wanita semestinya kita memahami perkara yang dibangkitkan sebelum ini,” katanya ketika ditemui pada pra pelancaran dan sidang akhbar Absolut Bazzar x Festival Gaya Raya.
Pemilik nama lengkap Diana Danielle Danny Beeson yang juga bekas kekasih Syamsul sewaktu remaja itu bagaimanapun mendoakan yang terbaik untuk perjalanan hidup buat rakan baiknya.
“Dalam kehidupan, kita tidak boleh menjangka pengakhiran yang berlaku dalam apa jua keadaan.
“Kita hanya mampu memberikan yang terbaik dan saya pasti dia juga sudah membuat sehabis baik buat keluarganya.
“Jadi kita hanya menyokong apa saja tindakan yang diambil. Apa saja yang terbaik buat Puteri Sarah dan anak-anaknya,” jelas isteri kepada pelakon Farid Kamil itu.
Semalam, pemilik nama lengkap Puteri Sarah Megat Kamaruddin memfailkan permohonan cerai terhadap Syamsul di Kompleks Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan.
Dia yang hadir di perkarangan mahkamah dengan sangat bersemangat ditemani dua orang adiknya.
Minggu lalu, Kosmo! Online melaporkan kepincangan rumah tangga Syamsul selepas dua mengakui sudah berkahwin dengan anak pelakon veteran, Kazar Saisi iaitu Ira Kazar di Thailand.
Pendedahan tersebjut sekali gus memuncakkan krisis rumah tangga Syamsul dan Puteri Sarah yang berlanjutan sejak empat tahun lalu.
Syamsul dan Puteri Sarah berkahwin pada 8 Mac 2014. Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan sepasang cahaya mata iaitu Syaikhul Islam, 5, dan Sumayyah yang kini berusia tiga tahun. -KOSMO! ONLINE